Proton perkenal teknologi hibrid pintar i-HEV menerusi AMA 02 - Utusan Malaysia

Proton perkenal teknologi hibrid pintar i-HEV menerusi AMA 02

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton memperkenalkan sistem hibrid pintar i-HEV sebagai teknologi hibrid generasi baharunya yang bakal ditawarkan menerusi model akan datang dengan kod nama AMA 02, sekali gus memperkukuh langkah pengeluar kereta nasional itu dalam memperluas penawaran kenderaan berelektrifikasi.

Teknologi berkenaan menggabungkan enjin petrol khusus untuk kegunaan hibrid, dua motor elektrik serta sistem pengurusan tenaga pintar bagi menawarkan penjimatan bahan api, selain prestasi pemanduan yang lancar dan responsif.

Menariknya, sistem itu tidak memerlukan pengecasan menggunakan sumber elektrik luaran kerana baterinya mendapat bekalan tenaga daripada enjin petrol dan sistem brek regeneratif.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, pembangunan i-HEV mengambil kira keperluan pengguna tempatan yang mahukan teknologi lebih cekap tanpa perlu mengubah rutin pemanduan harian.

Katanya, sistem itu menggabungkan penjimatan bahan api, prestasi responsif dan kemudahan penggunaan, sama ada ketika mengharungi kesesakan lalu lintas di bandar atau melakukan perjalanan jarak jauh.

“Pembeli kereta di Malaysia mahukan teknologi yang memudahkan perjalanan harian mereka. Melalui i-HEV, kami menggabungkan penjimatan bahan api, prestasi responsif dan kemudahan sistem hibrid yang tidak memerlukan pengecasan luaran.

“Sistem ini mengurus penggunaan kuasa petrol dan elektrik supaya pemandu boleh memberi tumpuan kepada perjalanan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, teras kepada teknologi itu ialah enjin petrol aspirasi semula jadi 1.5 liter yang dibangunkan khusus untuk sistem hibrid (DHE), dengan kuasa 111 PS dan tork 136 Nm.

“Enjin berkenaan mempunyai kecekapan terma maksimum 46.5 peratus, disokong proses pembakaran kitaran Atkinson bagi memanfaatkan tenaga bahan api dengan lebih cekap.

“Penggunaan kitaran Atkinson membolehkan enjin mengutamakan kecekapan bahan api, manakala motor elektrik memberikan bantuan kuasa tambahan ketika kenderaan mula bergerak atau memecut.

“Gabungan kedua-dua sumber kuasa itu bertujuan mengimbangi keperluan penjimatan bahan api dengan prestasi pemanduan harian,” katanya.

Sistem i-HEV turut dipadankan dengan transmisi khusus hibrid atau Dedicated Hybrid Transmission (DHT) yang dilengkapi dua motor elektrik, masing-masing dikenali sebagai P1 dan P3.

Motor P1 berfungsi menghidupkan enjin serta menjana elektrik, manakala motor P3 memacu kenderaan dan memulihkan tenaga ketika kenderaan memperlahankan kelajuan.

Selain itu, motor pacuan utama itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 163 PS dan tork 220 Nm, sekali gus memberikan tindak balas lebih pantas ketika memasuki aliran trafik, mendaki atau memotong kenderaan lain.

Operasi enjin, motor elektrik dan bateri pula diselaraskan menerusi Modul Kawalan Kuasa (PCM) yang memilih secara automatik empat mod pemanduan, iaitu EV, Siri, Selari dan Pacuan Terus mengikut kelajuan, keperluan kuasa serta keadaan bateri.

Melalui Mod EV, kenderaan digerakkan sepenuhnya menggunakan tenaga elektrik apabila keadaan mengizinkan, manakala Mod Siri menggunakan enjin petrol untuk menjana elektrik bagi menggerakkan motor pacuan.

Dalam perkembangan berkaitan, pengenalan i-HEV turut memperkukuh keupayaan tempatan Proton dalam pembangunan teknologi elektrifikasi menerusi operasi pengeluaran dan pemasangan komponen di Tanjong Malim, Perak.

“Selain pengeluaran enjin khusus hibrid DHE, fasiliti berkenaan turut menjalankan pemasangan tempatan transmisi khusus hibrid DHT dan unit pacuan elektrik (EDU),” katanya.

Menurut Abdul Rashid, usaha itu bukan sahaja memperluas keupayaan teknikal Proton, malah membantu membangunkan kemahiran tempatan dalam bidang pemasangan, pengujian dan kawalan kualiti serta menyokong pertumbuhan ekosistem pembekal automotif negara.

Katanya, pembangunan keupayaan dalam teknologi teras kenderaan hibrid itu juga menjadi asas kepada aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau bagi pengeluaran dan pembangunan teknologi kenderaan masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini