PETALING JAYA: Anak syarikat Proton, Pro-Net menyerahkan tiga kenderaan elektrik Proton e.MAS kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyokong penilaian PDRM terhadap kebolehgunaan dan kesesuaian kenderaan elektrik untuk pelbagai keperluan armada dan operasi.
Serahan kenderaan berkenaan merangkumi model Proton e.MAS 5 Premium, Proton e.MAS 7 Premium dan Proton e.MAS 7 PHEV Premium Plus yang diserahkan dalam satu majlis di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, penyerahan tersebut memberi peluang kepada PDRM untuk menilai aspek kebolehgunaan, praktikaliti serta keperluan pengecasan dalam situasi sebenar.
“Penilaian bersama PDRM ini merupakan peluang baik untuk kami melihat sendiri bagaimana kenderaan e.MAS dapat digunakan dalam situasi sebenar serta memberikan pengalaman lebih menyeluruh berbanding pandu uji biasa.
“Kami berbesar hati dapat menyokong PDRM melalui penilaian ini yang akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai kesesuaian kenderaan elektrik mengikut keperluan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Bagi menyokong inisiatif berkenaan, penyedia penyelesaian tenaga Gentari turut menyediakan kemudahan pengecasan secara percuma untuk ketiga-tiga kenderaan sepanjang tempoh penilaian.
Siri kenderaan Proton e.MAS berpotensi untuk menyokong tugas operasi harian PDRM merangkumi rondaan pencegahan jenayah, tertakluk kepada hasil penilaian serta pertimbangan kerajaan pada masa hadapan.
Proton e.MAS terus mencatatkan sambutan menggalakkan di pasaran tempatan dengan lebih 6,000 unit kenderaan telah didaftarkan setakat 31 Ogos lalu. – UTUSAN










