BAITULMUQADDIS: Pemimpin parti Yashar, Gadi Eisenkot dan Pengerusi Yisrael Beiteinu, Avigdor Lieberman bersetuju untuk membuka pintu rundingan bersama parti-parti Yahudi Ultra-Ortodoks bagi membentuk kerajaan baharu Israel.
Keputusan berkenaan dicapai menerusi satu pertemuan rasmi pada Isnin, di mana kedua-dua tokoh politik terbabit bersetuju meneroka semua ruang rundingan sebelum mempertimbangkan pilihan penubuhan kerajaan alternatif.
Menurut laporan media tempatan Channel 13, Eisenkot secara khusus meminta bantuan Lieberman untuk memudah cara rundingan serta mencapai persefahaman bersama parti-parti agama terbabit.
Ketetapan baharu itu secara tidak langsung menangguhkan cadangan penubuhan kerajaan minoriti yang disokong oleh parti-parti Arab sehinggalah keputusan rundingan dengan blok Ultra-Ortodoks menjadi jelas.
Menerusi perkembangan berkaitan, penyiar awam Israel memetik kenyataan pegawai kanan parti United Torah Judaism yang mengesahkan minat mereka untuk berunding dengan blok perubahan meskipun belum menerima panggilan rasmi.
Golongan Haredim atau Yahudi Ultra-Ortodoks yang diwakili oleh parti United Torah Judaism dan Shas menuntut pengecualian khidmat tentera bagi pelajar pengajian agama serta perlindungan peruntukan kewangan institusi mereka sebagai syarat utama.
Kedua-dua parti terbabit menguasai 13 daripada 120 kerusi di Knesset, iaitu angka kritikal yang diperlukan oleh blok Eisenkot yang meraih 48 kerusi bagi mencapai majoriti mudah 61 kerusi parlimen.
Lapor Anadolu, meskipun sebelum ini menganggotai kem sokongan bekas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, keputusan pilihan raya terbaharu membuka ruang diplomasi bagi membawa kedua-dua parti terbabit menyertai koalisi alternatif.
Isu pengecualian pendaftaran ketenteraan bagi pemuda Ultra-Ortodoks kekal menjadi halangan utama rundingan, memandangkan sebahagian besar parti dalam blok perubahan mendesak pelaksanaan pendaftaran tentera yang lebih menyeluruh.
Bagaimanapun, Lieberman yang sebelum ini dikenali dengan pendirian tegar menentang pengecualian khidmat tentera golongan berkenaan menyuarakan kesediaan untuk bertolak ansur demi merealisasikan pembentukan kerajaan tanpa pembabitan Netanyahu.











