BAYANGKAN seorang pengundi melihat dua pemimpin duduk semeja mengurus negara, kemudian menyaksikan parti mereka berlawan dalam pilihan raya negeri.
Di Putrajaya, kerjasama dipertahankan atas nama kestabilan. Di negeri, masing-masing meminta mandat untuk mengalahkan rakan sendiri. Keadaan yang sukar dihadam ini semakin menjadi kebiasaan.
Pengundi berhak bertanya bagaimana kedua-dua pendirian itu diselaraskan. Apakah perbezaan dasar yang menyebabkan mereka bersaing di negeri? Apakah persamaan yang membolehkan mereka mentadbir bersama di Persekutuan? Lebih penting, apakah manfaatnya kepada rakyat?
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meneruskan persoalan yang muncul di Johor dan Negeri Sembilan. Hubungan sekutu dan lawan berubah mengikut gelanggang, membangkitkan persoalan tentang prinsip, nilai dan pertanggungjawaban.
POLITIK BANYAK HALUAN, PENGUNDI MENUNTUT PENJELASAN
Polytropos berasal daripada kata Yunani, yang antara maknanya ialah beralih ke pelbagai arah.
Dikaitkan dengan Odysseus dalam tradisi Yunani, istilah ini merangkumi sifat semua boleh, bijak menyesuaikan diri serta licik, bergantung pada konteks.
Dalam tulisan ini, polytropos menjadi metafora bagi keanjalan hubungan politik. Sesebuah parti boleh bekerjasama dengan satu pihak di Persekutuan, bersaing dengannya di negeri dan membina persefahaman dengan pihak lain.
Coraknya semakin ketara. Di Johor, sokongan terpilih Pas kepada Barisan Nasional (BN) disertai penafian tentang kerjasama baharu. Di Negeri Sembilan, BN dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan bersama.
Menjelang PRN Melaka, BN mengumumkan Pas sebagai rakan strategik dengan gerak kerja dan manifesto bersama.
Keanjalan diperlukan dalam demokrasi berbilang parti tetapi asasnya mesti diterangkan.
Bayangkan parti yang berkempen menolak pihak tertentu atas alasan prinsip, kemudian bekerjasama selepas pilihan raya. Pengundi berhak mengetahui perkara yang dipersetujui dan kompromi yang dibuat.
Begitu juga apabila tuntutan ketelusan ketika menjadi pembangkang dilonggarkan setelah memasuki kerajaan. Yang dipersoalkan ialah perubahan ukuran pertanggungjawaban mengikut kedudukan.
Polytropos menjadi masalah apabila setiap perubahan dipertahankan sebagai kebijaksanaan strategi tanpa menjelaskan kesannya terhadap dasar, mandat dan kepercayaan.
Ada harga yang ditanggung masyarakat apabila pemimpin menukar haluan setelah membina sokongan melalui permusuhan. Pemimpin boleh bersalaman dalam sebuah majlis. Penyokong yang sudah menuduh ‘jiran’ mengkhianati bangsa atau agama belum tentu semudah itu memulihkan hubungan.
Manfaat percaturan dinikmati di meja rundingan tetapi kesan permusuhan ditanggung dalam kehidupan seharian. Lebih sukar memulihkan hubungan apabila tuduhan terus beredar di media sosial meskipun pemimpin sudah berdamai. Sentimen boleh diulang dan diperbesar, malah gambaran sokongan terhadapnya boleh direka.
Sekiranya dapatan laporan Anthropic pada September lalu tepat, bermakna operasi yang menyasarkan Malaysia melibatkan kira-kira 1,000 akaun palsu di platform X dan sebuah laman berita merupakan rekaan.
Menurut laporan itu, data bancian serta berjuta-juta rekod pengundi digunakan untuk membina sistem penyasaran merangkumi 222 kawasan Parlimen, termasuk melalui isu kaum, agama dan institusi diraja.
Anthropic menyatakan tiada bukti operasi itu berjaya menjangkau komuniti pengguna sebenar di luar rangkaiannya. Namun, keupayaan membina operasi sedemikian sudah cukup membimbangkan.
Tuduhan sama melalui 10 akaun boleh kelihatan seperti pengesahan 10 sumber.
Kajian Gordon Pennycook dan rakan-rakannya pada 2018 mendapati peserta cenderung menilai tajuk berita palsu sebagai lebih tepat apabila pernah melihatnya.
Apabila pemimpin menukar pendirian, tuduhan yang membantu mereka meraih sokongan tidak semestinya hilang. Atas alasan apa tuduhan dibuat dahuludan mengapa kerjasama diperlukan sekarang?
PETI UNDI KEKAL, HAKIKAT DEMOKRASI TERHAKIS
Pada 22 Oktober lalu, media melaporkan kenyataan polis mengenai dua laporan yang dibuat pada 14 Oktober berhubung dakwaan terhadap DAP, masing-masing berkaitan zon bebas kenderaan dan sekolah agama untuk komuniti Rohingya. Siasatan masih berjalan ketika laporan itu diterbitkan. Kesahihan dakwaan perlu ditentukan berdasarkan bukti.
Isu zon bebas kenderaan wajar dilihat dari sudut kesannya kepada peniaga. Adakah pelanggan lebih mudah datang? Bagaimana urusan parkir dan pemunggahan barang? Adakah penduduk dilibatkan sebelum keputusan dibuat? Jawapan calon terhadap perkara ini menunjukkan sejauh mana mereka memahami kesan sesuatu dasar.
Namun, apabila isu dibingkaikan sebagai ancaman antara kelompok, kepentingan peniaga dan penduduk mudah tenggelam. Pengundi akhirnya menerima emosi, bukan maklumat yang membantu mereka membuat pertimbangan.
Demokrasi boleh kehilangan makna walaupun proses pilihan raya kekal berjalan. Kebebasan memilih menjadi terbatas apabila kempen dipenuhi kebencian dan sukar disokong fakta yang boleh dinilai.
Kita tidak boleh kembali ke zaman sebelum media sosial. Sebaliknya, kempen perlu berasaskan bukti, dasar yang jelas dan ukuran yang sama. Mutu demokrasi bergantung pada kemampuan rakyat memilih secara bermaklumat serta menuntut wakil bertanggungjawab selepas dipilih.
REFORMASI MENUNTUT PIAWAIAN POLITIK LEBIH TINGGI
Janji reformasi perlu diuji sejak kempen berlangsung. Calon mesti menjelaskan pilihan dasar, bukan sekadar menyerang kelemahan lawan. Perundingan parti pula perlu menghasilkan agenda pentadbiran, bukannya hanya pembahagian kerusi dan jawatan.
Apabila tumpuan politik tertumpu kepada siapa bergabung dengan siapa, masalah rakyat mudah tersisih. Politik pembangunan sepatutnya bermula dengan keperluan rakyat, diikuti perancangan penggunaan kuasa dan sumber untuk menyelesaikannya.
Parti yang pernah memerintah perlu mempertanggungjawabkan rekodnya, manakala pihak yang mahu mengambil alih mesti menunjukkan bagaimana tawaran mereka dilaksanakan, dibiayai dan dinilai. Pembinaan gabungan hanya bermakna jika mampu membawa perubahan.
Dalam politik polytropos, perubahan haluan mungkin berlaku, tetapi pemimpin tetap perlu menjelaskan sebabnya kepada rakyat. Menjelang PRU, setiap parti wajar menerangkan agenda bersama, batas kompromi serta asas rundingan selepas pilihan raya. Pengundi berhak mengetahui bentuk pentadbiran yang mungkin lahir daripada undi mereka.
Kerjasama yang kabur pula boleh menyebabkan kejayaan dikongsi, sedangkan kegagalan dituding kepada rakan sendiri. Sebab itu, komitmen politik mesti boleh dinilai selepas kerajaan dibentuk. Kepercayaan hanya lahir apabila alasan ketika berkempen selari dengan tindakan selepas memperoleh kuasa.
Hala tuju politik Malaysia bergantung pada cara keanjalan digunakan. Ia boleh membuka ruang rundingan dasar yang matang atau sekadar mengukuhkan budaya bertukar rakan demi kuasa. Selepas PRN Melaka, ukuran sebenar bukan siapa yang menang atau bergabung tetapi apa yang berubah untuk rakyat. -UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Felo RCE Tongyeong, Sejahtera Forest, Korea Selatan.









