ISTANBUL: Kerjasama strategik Malaysia-Turkiye diperluas dalam sektor pertahanan, pemindahan teknologi, pelaburan dan pembangunan modal insan bagi memperkukuh hubungan dua hala serta membuka peluang baharu kepada industri tempatan.
Perkara itu hasil daripada lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Turkiye bermula 5 November bersempena TRT World Forum 2026 di Istanbul Congress Center (ICC).
Lawatan itu bukan sekadar melengkapkan jadual diplomasi antarabangsa, sebaliknya berjaya menterjemahkan hubungan akrab kedua-dua negara kepada jalinan kerjasama strategik berskala tinggi.
Di sela-sela lawatan itu, Ahmad Zahid mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi membincangkan hala tuju hubungan Putrajaya dan Ankara termasuk sasaran melonjakkan nilai perdagangan dua hala daripada AS$5.51 bilion pada 2025 kepada AS$10 bilion menjelang 2030.
Perbincangan bersejarah itu turut merangkumi peluasan kerjasama dalam pelaburan, pertahanan, pemindahan teknologi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal serta pengurusan bencana.
Kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan di Palestin, Lubnan dan Syria dengan penekanan terhadap perlindungan orang awam serta akses bantuan kemanusiaan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan komitmen Malaysia sebagai negara penyelaras hubungan ASEAN-Turkiye bagi memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua rantau, sekali gus memanfaatkan kedudukan negara dalam memperluas pengaruh ekonomi dan diplomatik pada peringkat global.
Sementara itu, dalam pertemuan dengan Naib Presiden Turkiye, Cevdet Yilmaz, kedua-dua pihak mengenal pasti peluang pelaburan bernilai tinggi dalam sektor makanan dan minuman, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), elektrik dan elektronik serta pertahanan, selain meneroka kerjasama pembangunan wilayah, bandar mampan, dan pemerkasaan ekonomi masyarakat luar bandar.
Misi kerja itu turut menumpukan kepada diplomasi pelbagai hala menerusi Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), selain hubungan dengan Lubnan menerusi sesi perbincangan bersama-sama Setiausaha Agung D-8 Sohail Mahmood dan Timbalan Perdana Menteri Lubnan, Dr Tarek Mitri.
Pada 7 November, pemerkasaan TVET negara menerima suntikan baharu menerusi pemeteraian Surat Kerjasama (LoC) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Universiti Sabanci dan Universiti Teknikal Yildiz (YTU).
Menerusi kolaborasi dengan Universiti Sabanci, kedua-dua universiti tempatan itu akan bersama-sama meneroka pelaksanaan program ijazah sarjana muda dan sarjana, penyelarasan kurikulum akademik, serta membuka laluan pengajian doktor falsafah melalui penyeliaan dan penyelidikan kolaboratif.
Sementara itu, kerjasama dengan YTU memberikan tumpuan kepada penyelidikan dalam reka bentuk kapal dan pengujian model, dengan memanfaatkan kemudahan tangki ombak di universiti berkenaan bagi kajian perairan cetek bersama-sama Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET).
Pada masa sama, dialog meja bulat dengan badan pemikir Turkiye, Foundation for Political, Economic and Social Research (SETA) berjaya membuka ruang kepada meneruskan penyelidikan dasar, khususnya berkaitan geopolitik Asia Tenggara-Asia Barat, keselamatan serantau serta peranan autonomi strategik negara kuasa pertengahan.
Lawatan kerja Ahmad Zahid turut menyaksikan potensi kerjasama industri maritim menerusi pertemuan dengan Konsul Kehormat Malaysia di Bursa Datuk Cevdet Sefer, khususnya cadangan pembangunan hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kapal di Bagan Datuk, Perak, yang boleh memanfaatkan teknologi perkapalan Turkiye.
Mengakhiri lawatan, beliau dalam sidang media pada Ahad menyatakan cadangan Malaysia untuk menghidupkan semula Pertubuhan Zakat Antarabangsa (IZO) yang diasaskan pada 2008, selain memaklumkan sokongan negara terhadap sasaran D-8 meningkatkan nilai perdagangan sesama negara anggota kepada lebih USD500 bilion menjelang 2030.
Secara keseluruhan, lawatan berkenaan bukan sekadar memenuhi undangan antarabangsa, malah memberikan pulangan nilai tambah yang signifikan kepada Malaysia, serta memperkukuh pertalian diplomatik erat yang terjalin sejak 1964. – UTUSAN











