SHAH ALAM: Peletakan jawatan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak menjamin penyelesaian kepada masalah yang dihadapi parti itu terutama dalam menentukan hala tujunya bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya, semua pemimpin digesa menghormati mandat dan suara akar umbi yang disuarakan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada penghujung Mac lalu yang menentukan hala tuju UMNO dalam Kerajaan PN.
Perkara itu ditegaskan, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Dr. Mohammad Khir Toyo yang mengingatkan pemimpin parti selepas tewas dalam Pilhan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kekuatan UMNO sekarang adalah bergantung kepada akar umbi.
“Bayangkan orang macam ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, pergi Kelantan orang tak peduli, apa maksudnya? Akar umbi tak kisah. Pemimpin datang dan pergi, yang penting mereka menghormati keputusan parti. Di Sabah, hampir 18 ketua bahagian keluar daripada UMNO tetapi UMNO Sabah masih kukuh.
“Jadi, masalah yang kita hadapi sekarang bukan masalah Presiden tetapi ketidakpatuhan kepada arahan akar umbi. Kalau kita tukar Presiden dan dia tidak ikut arahan akar umbi pun masalah juga,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Bagaimanapun, bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menegaskan, pemimpin yang bermasalah dalam parti keramat itu perlu ‘bercuti’ dan memberi laluan kepemimpinan baharu untuk menerajuinya.
“Ini yang kita rasa negara kita tak habis-habis berputar dalam putaran ganas ketidaktentuan politik. Kita kena keluar daripada kemelut ini, kena ‘fresh’, rakyat terbelenggu keadaan yang tidak menyeronokkan, tak ada jalan keluar nampaknya kemelut-kemelut yang tak berkesudahan.
“Ini yang tak mahu keluar menjadikan rakyat buntu dan tidak tahu bila hendak selesai masalah yang tidak habis-habis ini, lama sangat. Semua pemimpin bermasalah perlu mengambil cuti. Ini pokok, kalau tidak jaga, tumbanglah ia,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










