Percepat projek tebatan banjir

Percepat projek tebatan banjir

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang, Shah Alam semalam. Seramai 575 mangsa daripada 253 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir kilat kelmarin. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh dan RTB Sungai Damansara bernilai hampir RM700 juta dipercepatkan bagi mengatasi masalah banjir yang berulang di kawasan berkenaan.

Selain mempercepatkan projek jangka panjang itu, satu penyelesaian sementara menerusi pembinaan kolam tadahan turut diarahkan bagi mengurangkan risiko banjir kilat sementara menunggu keseluruhan projek disiapkan.

Perdana Menteri mengeluarkan arahan itu susulan kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Melayu Subang dan kawasan sekitar petang kelmarin sehingga menjejaskan 575 mangsa daripada 253 keluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anwar berkata, kedua-dua projek yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan itu perlu digerakkan tanpa sebarang kelewatan bagi meminimumkan risiko bencana serta mengelakkan penduduk terus berdepan kejadian sama.

“Perkara itu perlu diberi perhatian susulan kejadian banjir kilat melanda Kampung Melayu Subang dan kawasan sekitar petang semalam (kelmarin).

“Projek tebatan banjir termasuk pelebaran sungai dan pembinaan kolam tambahan perlu dipercepatkan bagi mengurangkan risiko kejadian berulang,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri melawat penduduk terjejas yang ditempatkan di Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang.

Turut serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan.

Anwar berkata, beliau akan mendapatkan laporan kemajuan projek tebatan banjir Kerajaan Persekutuan pada Jumaat ini, manakala Amirudin dijangka membentangkan status projek peringkat negeri dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada hari sama.

Menyentuh kebajikan penduduk, Anwar memberi jaminan kerajaan akan menyalurkan bantuan tambahan selain bantuan sedia ada bagi meringankan beban keluarga yang terjejas.

Daripada 253 keluarga terjejas, seramai 30 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siantan, manakala baki 245 keluarga menumpang di rumah saudara-mara.

Hujan lebat antara pukul 2 hingga 3 petang kelmarin menyebabkan paras sungai meningkat melepasi tahap bahaya dengan taburan hujan di Kampung Melayu Subang mencecah 116.5 milimeter, bersamaan purata hujan selama tiga hari.

Banjir sedalam kira-kira satu meter itu turut menjejaskan sekitar 500 rumah di beberapa kawasan termasuk Denai Alam, Puncak Alam, Sungai Buloh, Saujana Utama dan Damansara Uptown.

Sementara itu, Ramanan berkata, pembinaan kolam tadahan sementara merupakan antara langkah segera bagi mengurangkan jumlah air yang mengalir ke kawasan kediaman ketika hujan lebat.

Katanya, langkah berkenaan bukan bertujuan menghentikan banjir sepenuhnya, sebaliknya membantu mengurangkan kesannya sementara menunggu projek RTB disiapkan.

“Perdana Menteri sudah mengarahkan satu penyelesaian sementara diadakan.

“Jadi, kita akan buat satu, contohnya kolam tadahan, di mana kita boleh menahan air itu bukan untuk memberhentikan, tetapi sekurang-kurangnya mengurangkan banjir yang sedang berlaku,” katanya.

Menurut Ramanan, projek RTB Fasa 1 dan Fasa 2 bagi Sungai Buloh serta Sungai Damansara sedang dilaksanakan secara berperingkat dengan kemajuan berbeza mengikut kawasan.

Katanya, terdapat bahagian yang mencapai kemajuan sekitar 30 hingga 40 peratus, manakala kawasan lain sudah berada pada tahap 50 hingga 60 peratus.

Beliau berkata, kerjasama Kerajaan Persekutuan dan negeri amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan dapat dipercepatkan kerana masalah banjir di kawasan itu bukan perkara baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini