KOTA TINGGI: Seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pengerang, di sini hari ini atas dakwaan membunuh seorang peneroka warga emas di Felda Lok Heng Selatan, di sini bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Iskandar Sentot, 35, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Tiada pengakuan direkod memandangkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang merupakan bidang kuasa mahkamah tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Mohd. Ariff Md. Yusoff, 68, di hadapan sebuah rumah di Jalan Bersatu, Felda Lok Heng Selatan, Pengerang di sini pada pukul 7.20 petang, 26 Oktober lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun jika sabit kesalahan. Jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 7 Januari tahun untuk sebutan semula kes untuk laporan kimia, patalogi, DNA, rekod mental dan bedah siasat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nursyafiq Abd. Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 27 Oktober lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata suspek telah berjaya ditahan di kawasan kebun kelapa sawit di sini pada pukul 10.26 pagi.
“Polis turut merampas sebuah motosikal dan sebilah kapak yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut. Terdahulu mangsa ditemukan berlumuran darah dengan kesan luka pada bahagian kepala dan kedua-dua belah tangan,” katanya.-UTUSAN











