KUALA LUMPUR: Kekurangan jurubahasa di mahkamah perlu diberi perhatian serius susulan masalah itu didakwa menyebabkan seorang tertuduh daripada masyarakat Orang Asli terpaksa menjalani tahanan hampir sembilan tahun sebelum kesnya diselesaikan.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, kerajaan perlu menjelaskan langkah menangani kekurangan jurubahasa, khususnya bagi kaum minoriti yang memerlukan khidmat terjemahan sepanjang prosiding mahkamah.
Katanya, terdapat kes seorang lelaki daripada kaum Seletar yang berdepan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Johor Bahru, namun berdepan masalah mendapatkan jurubahasa untuk membolehkannya menjalani perbicaraan.
“Disebabkan masalah yang berlaku di mahkamah, termasuk ketiadaan jurubahasa Orang Asli kaum Seletar, tertuduh ditahan hampir sembilan tahun di Penjara Johor Bahru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Takiyuddin berkata, selepas peguam tertuduh mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara, pertuduhan terhadap lelaki itu kemudian dikurangkan daripada Seksyen 302 kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan sebelum dia dibebaskan.
“Tertuduh mengaku bersalah kerana tidak tahan berada di penjara maka dia terus dibebaskan,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin mempersoalkan jumlah perjawatan di bawah Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan yang tidak berubah, iaitu sebanyak 5,539 bagi 2026 dan 2027, sedangkan timbul isu kekurangan anggota mahkamah termasuk jurubahasa.
“Saya ingin mendapat penjelasan daripada kerajaan khususnya Menteri Undang-Undang mengenai jumlah perjawatan yang tidak berubah dari 2026 hingga 2027.
“Kerajaan perlu menjelaskan kenyataan Ketua Hakim Negara bahawa seseorang tertuduh tidak sepatutnya menunggu lebih dua tahun dalam tahanan sebelum kesnya dibicarakan.
“Kita hendak dengar daripada kerajaan perkara ini,” katanya sambil meminta kementerian menjelaskan langkah bagi mengatasi kelewatan perbicaraan dan kekurangan jurubahasa di mahkamah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki Orang Asli, Jambi Chang Taa Nam, 47, yang merupakan tahanan reman paling lama di negara ini bagi kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, menulis surat kepada peguam, Kamal Hisham Jaafar bagi mendapatkan bantuan guaman.
Lelaki itu akhirnya dibebaskan pada Ogos lalu selepas hampir sembilan tahun menjalani tahanan reman sejak 2017. – UTUSAN











