KUALA LUMPUR: HSBC Malaysia mempertingkatkan kemudahan pertukaran asing (FX) menerusi FX on Mobile bagi membantu pelanggan menguruskan keperluan perbankan dan pelaburan global mereka secara digital.
Penambahbaikan itu membolehkan pelanggan menguruskan transaksi mata wang dengan lebih lancar, termasuk menjejak mata wang pilihan menerusi FX Watchlist dan meneliti pergerakan kadar lalu menggunakan FX Chart.
Ketua Solusi Kekayaan dan Premier, Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Malaysia, Jon Chivers berkata, FX on Mobile menyatukan dua tonggak utama perkhidmatan HSBC Premier iaitu Wealth dan International.
“FX semakin popular sebagai perkakas pengurusan kekayaan kerana membantu pelanggan membuat keputusan berpandukan maklumat tepat, sama ada untuk tujuan melancong, perbelanjaan pendidikan mahupun sokongan keluarga di luar negara.
“Menerusi aplikasi HSBC Malaysia Mobile Banking, pelanggan kini boleh memantau pergerakan mata wang, menukar wang serta mengirimnya ke serata dunia dalam satu pengalaman yang lancar,” katanya semasa majlis pelancaran di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelanggan boleh menetapkan kadar sasaran serta notifikasi menerusi FX Rate Alerts, di samping menukar mata wang menerusi aplikasi perbankan 24 jam sehari dengan akses kepada kadar tukaran masa nyata.
Pelanggan HSBC Premier turut menikmati kemudahan pengiriman wang rentas sempadan ke lebih 50 negara dan wilayah melalui Global Money Transfers – ‘Send like a local’ tanpa sebarang caj pemindahan.
Peningkatan ciri baharu itu dilaksanakan seiring permintaan tinggi terhadap perkakas FX di Malaysia, di mana pusing ganti FX spot dalam transaksi runcit dan korporat meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 12.6 peratus bagi tempoh 2021 hingga 2026.
Sementara itu, dalam sesi tinjauan FX anjuran HSBC Malaysia, Ketua Penyelidikan FX Asia di HSBC Global Investment Research, Joey Chew berkata, perbezaan kadar faedah serta pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) kekal menjadi pemacu utama kadar pertukaran dolar AS dan ringgit.
“Kami menjangkakan dolar AS secara umumnya kekal disokong dalam jangka masa pendek berikutan pulangan pelaburan AS yang lebih tinggi, tindakan Rizab Persekutuan (Fed) AS mengawal inflasi serta ketahanan ekonomi negara itu.
“Bagi ringgit Malaysia, pergerakan dolar AS dan ringgit berkemungkinan lebih dipacu oleh faktor luar seperti trend dolar AS, perbezaan kadar faedah serta aliran portfolio antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, latar belakang pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan pelaburan Malaysia yang kukuh berupaya mengehadkan kadar penyusutan nilai ringgit daripada terus terjejas. – UTUSAN










