PETALING JAYA: HSBC Malaysia telah membuka Pusat Premier baharu di cawangan Subang Jaya, yang terletak di lokasi terkenal iaitu Pusat Perniagaan Taipan. Ini merupakan Pusat Premier baharu yang ketiga, menyusul selepas pembukaan Pusat Premier di Petaling Jaya dan Puchong pada awal tahun ini.
Pusat Premier direka khusus untuk menyediakan solusi kekayaan dan perbankan yang disuaikan untuk pelanggan HSBC Premier, meliputi pengumpulan dan perlindungan kekayaan serta perancangan legasi.
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq berkata, Bank kini giat berusaha untuk mengukuhkan posisi dalam segmen perbankan mewah di Malaysia, dengan bertumpu kepada lokasi ekonomi utama di mana terdapat permintaan tinggi untuk perbankan antarabangsa dan pengurusan kekayaan.
“HSBC telah bertapak di Subang Jaya sejak 2005, dan kami menyaksikan bagaimana kawasan kejiranan di sini berubah daripada lokasi perumahan pilihan ramai kepada bandar yang lebih terhubung, dinamik dan menampung segenap keperluan penduduk dengan mandiri.
” Kini, Subang Jaya semakin bertukar wajah dengan kehadiran syarikat korporat, ekosistem pendidikan bertaraf dunia dan penjanaan semula bandar yang berterusan — ini mencipta pusat kegiatan baharu, keterhubungan yang lebih baik dan persekitaran yang sesuai untuk membina kekayaan dan memperoleh peluang pelaburan premium pada kadar yang menjangkaui peranan lazim kawasan kejiranan di pinggir bandar.
“Pelaburan berterusan kami ke dalam cawangan Subang Jaya mencerminkan keyakinan terhadap perubahan ini, kepercayaan dalam kisah pertumbuhan ekonomi di Malaysia, dan komitmen untuk membantu pelanggan sedia ada dan baharu sewaktu keperluan mereka semakin berkembang dan berubah,” katanya.
Sementara itu, Linda Yip, Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Malaysia berkata, Kami mendapati permintaan semakin bertambah untuk perkhidmatan perbankan yang lebih diperibadikan, dan Pusat Premier ini diperkenalkan untuk memberi perkhidmatan yang selayaknya — dengan gabungan tenaga kerja, peralatan dan persekitaran yang dapat memenuhi keperluan klien.
Pada waktu keperluan klien kami menjadi semakin kompleks, Pusat ini didirikan untuk memudahkan akses kepada solusi berintegrasi untuk pelaburan, perlindungan dan pengurusan legasi, di hanya satu lokasi.
“Sepanjang kehadiran kami yang sekian lama di Malaysia, kami telah membina perhubungan erat dengan pelbagai klien, ada antaranya merentas beberapa generasi, dan kami kekal komited untuk mengembangkan kehadiran di sini. Kami pernah mendampingi klien ketika membeli kediaman pertama, mengembangkan perniagaan dan menampung pendidikan anak-anak.
“Kami ingin terus kekal sebagai rakan kewangan mereka yang dipercayai pada setiap detik penting — membantu mereka mengembangkan, memelihara dan menurunkan kekayaan dengan yakin,” katanya.
Terletak di tingkat bawah HSBC cawangan Subang Jaya, Pusat Premier dilengkapi bilik peribadi yang mengutamakan keselesaan, privasi dan perkhidmatan diperibadikan untuk pelanggan. Dengan pembukaan Pusat ini, HSBC berhasrat merealisasikan usul perkhidmatan Premier yang merangkumi empat tonggak iaitu Kekayaan, Kesihatan, Pengembaraan dan Antarabangsa.
Melalui perkhidmatan utama HSBC yang merangkumi tonggak Kekayaan dan Antarabangsa, pelanggan dapat memperoleh akses kepada solusi pelaburan yang pelbagai, termasuk Unit Amanah Saham, Bon/Sukuk, Produk Berstruktur dan pelan perlindungan Insurans/Takaful. Selain itu, mereka juga dapat mengakses solusi legasi dan perlindungan yang holistik, serta perkhidmatan perbankan antarabangsa yang tiada tandingan melalui pengiktirafan Premier untuk mereka dan ahli keluarga.
Turut tersenarai dalam rangkaian perkhidmatan Premier ialah tonggak Kesihatan dan Pengembaraan yang menawarkan pelanggan Premier solusi yang melangkaui perbankan. Di bawah tonggak Kesihatan, pelanggan Premier dapat menikmati diskaun eksklusif sehingga 30% untuk perkhidmatan kesihatan pencegahan, pemulihan dan kesejahteraan, manakala tonggak Pengembaraan pula ialah titik pertemuan perbankan antarabangsa dengan ganjaran pengembaraan premium.
Dengan kad Premier HSBC, pelanggan dapat menikmati manfaat seperti mata ganjaran berganda untuk setiap perbelanjaan, dan insurans pengembaraan serta akses kepada ruang istirahat secara hadiah ikhlas, dan banyak lagi. –UTUSAN










