PETALING JAYA: HSBC memperuntukkan Dana Pertumbuhan Asean sebanyak AS$1 bilion (RM4.71 bilion) di enam negara dengan pertumbuhan terpantas bagi membantu meningkatkan penggiat platform dalam ekonomi digital yang berkembang pesat di rantau ini.
Enam negara itu adalah Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Ketua Pegawai Eksekutif, HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq berkata, Asean berpotensi besar untuk pertumbuhan dengan populasi bekerja yang dibesarkan secara digital dan semakin bertambah.
Ujarnya, keadaan itu juga bersedia untuk menggunakan lebih banyak barangan dan perkhidmatan terutamanya dalam e-dagang.
“Justeru, kami teruja dapat membantu penggiat platform digital rantau ini mencapai skala ekonomi, mengembangkan portfolio aset mereka dan melangkah maju di sepanjang kitaran hayat korporat dengan peruntukan kemudahan kredit sebanyak AS$1 bilion melalui dana pinjaman khusus ini,” katanya dalam kenyataan.
Ekonomi digital Asia Tenggara adalah antara yang paling pesat berkembang di dunia, bernilai AS$218 bilion pada 2023 dan dijangka mencecah AS$600 bilion menjelang akhir dekad ini, pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 16 peratus.
Menurut Omar, HSBC mempunyai sejarah yang membanggakan dan warisan yang kukuh di Asean dalam menyokong usahawan dan meningkatkan perniagaan.
“Pengenalan tawaran terbaharu kami membolehkan kami menyokong syarikat ekonomi baharu dengan lebih baik di Asean, sama ada syarikat baharu atau syarikat besar, ketika mereka berkembang merentasi rantau dan melangkah maju di sepanjang kitaran hayat korporat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perbankan Komersial, HSBC Malaysia, Karel Doshi berkata, HSBC baru-baru ini meninjau 600 syarikat yang beroperasi di Asia Tenggara mendapati bahawa operasi pendigitalan merupakan keutamaan perniagaan, dipilih oleh 55 peratus responden di Malaysia.
“Keutamaan lain termasuk pertumbuhan di Asean dipilih 59 peratus responden, pembangunan produk atau penyelidikan dan pembangunan (33 peratus).
“Untuk membantu dalam memastikan pertumbuhan dalam ekonomi digital yang berkembang pesat, hampir tiga perempat responden Malaysia (73 peratus) berkata pendigitalan operasi menjadi semakin penting berbanding tahun lalu.
“Lebih penting lagi, kami juga menyaksikan bahawa 82 peratus daripada responden merancang untuk meningkatkan pelaburan mereka dalam digitalisasi perniagaan mereka di Asean,” ujarnya. – UTUSAN










