Krisis bekalan global tekan kos sara hidup

Krisis bekalan global tekan kos sara hidup

ASAD ATA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

GANGGUAN rantaian bekalan global bukan lagi isu yang jauh daripada kehidupan rakyat apabila kenaikan harga minyak, baja dan kos pengangkutan akhirnya mempengaruhi harga makanan serta perbelanjaan harian.

Malaysia turut terdedah kepada tekanan itu berikutan kebergantungan terhadap import beberapa keperluan utama termasuk baja, makanan ternakan dan bekalan makanan, selain ketidaktentuan cuaca yang boleh menjejaskan pengeluaran tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Justeru, Wartawan Utusan Malaysia, Hendra Winarno mendapatkan pandangan Profesor Amalan, Pengurusan Operasi dan Rantaian Bekalan, Asia School of Business, Prof. Asad Ata mengenai kesan gangguan rantaian bekalan terhadap rakyat dan perniagaan serta tahap kesiapsiagaan Malaysia menghadapi risiko tersebut.

 

UTUSAN: Bagaimanakah gangguan perkapalan di Selat Hormuz dan Laut Merah memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah di Malaysia?

ASAD: Selat Hormuz mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia dan sekitar satu pertiga daripada baja yang diperdagangkan di peringkat global. Apabila trafik melalui selat itu merosot pada Mac, harga minyak melonjak daripada kira-kira AS70(RM284.17)kepadalebihAS120 (RM487.15) setong.

Malaysia sebagai negara pengeluar minyak juga tidak terlindung sepenuhnya. PRefChem di Pengerang, Johor misalnya bergantung kepada rantau Teluk bagi lebih 70 peratus bekalan minyak mentahnya dan terpaksa menghentikan operasi unit minyak mentah utama pada Mac akibat kekurangan bekalan.

Bagaimanapun, rakyat belum merasakan sepenuhnya kenaikan itu kerana kerajaan menanggung perbezaan harga. Di bawah BUDI95, rakyat Malaysia yang layak masih membayar RM1.99 seliter bagi RON95 berbanding harga tanpa subsidi RM3.82 pada September.

Perbelanjaan subsidi bahan api sehingga RM4 bilion sebulan pada Mac berbanding kira-kira RM0.7 bilion pada Januari. Inflasi pengguna pula hanya 1.8 peratus pada September walaupun harga pengeluar meningkat 12 peratus.

Tekanan turut dirasai sektor pertanian kerana Malaysia mengimport kira-kira 63 peratus keperluan baja, sementara harga urea meningkat sekitar 63 peratus antara Februari hingga Mei.

Kesannya akan sampai kepada pengguna secara beransur-ansur menerusi peningkatan kos tanaman, makanan ternakan dan pengangkutan.

 

Dengan El Niño menjejaskan hasil tanaman dan harga baja tidak menentu, sejauh mana bekalan makanan Malaysia terjamin dan apakah yang perlu diberi perhatian?

Tahap jaminan bekalan berbeza mengikut jenis makanan. Pada 2025, Malaysia menghasilkan telur melebihi penggunaan domestik, tetapi masih mengimport kira-kira dua pertiga bekalan cili dan lebih empat perlima daging lembu.

Pengeluaran ayam dan telur juga bergantung kepada makanan ternakan import yang merangkumi 60 hingga 70 peratus kos pengeluaran ayam.

Bekalan beras perlu diberi perhatian apabila kadar sara diri menurun daripada 68 peratus pada 2018 kepada 54 peratus pada 2025, menyebabkan Malaysia mengimport sekitar 1.4 juta tan beras bernilai hampir RM3 bilion.

Dalam beberapa bulan akan datang, tumpuan perlu diberikan kepada bekalan air, harga dan bekalan baja serta keadaan cuaca di negara sumber import.

MetMalaysia menjangkakan hujan berkurangan antara Januari hingga Mac 2027 apabila El Niño semakin menguat, khususnya di negeri utara dan Sabah.

Pada masa sama, harga baja nitrogen 25 kilogram (kg) meningkat kepada kira-kira RM305 pada Mac. Sebarang kelewatan penanaman atau pengurangan penggunaan baja boleh menjejaskan bekalan pada musim tuaian berikutnya.

 

Mengapakah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sering menerima kesan paling besar apabila rantaian bekalan terganggu dan bagaimana mereka boleh melindungi perniagaan?

PMKS menyumbang 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025 dan menggaji kira-kira 8.1 juta orang. Namun, bagi perniagaan kecil, gangguan penghantaran boleh dengan cepat bertukar menjadi masalah aliran tunai.

Mereka mempunyai kuasa tawar-menawar lebih rendah, pilihan pembekal alternatif yang terhad dan rizab tunai lebih kecil. Bank Negara Malaysia juga mendapati banyak PKS berdepan kos input lebih tinggi, margin semakin kecil dan pembayaran pelanggan yang lebih perlahan.

Tinjauan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) pada September pula menunjukkan satu daripada lima firma berdepan tekanan aliran tunai.

Langkah perlindungan tidak semestinya mahal. PMKS perlu mengenal pasti dua atau tiga input kritikal yang boleh menghentikan operasi dan mendapatkan amaran awal daripada pembekal sekiranya berlaku risiko kelewatan.

Stok penampan pula wajar ditumpukan kepada barangan murah, penting dan tidak mudah rosak seperti bahan pembungkusan, bukannya menyimpan terlalu banyak bahan mentah segar.

 

Masalah rantaian bekalan sering berlaku apabila beberapa gangguan kecil berlaku serentak. Apakah contoh yang dekat dengan rakyat Malaysia?

Krisis beras pada 2023 merupakan contoh paling jelas apabila beberapa masalah berlaku pada masa sama.

Hasil padi tempatan merosot daripada kira-kira tujuh tan kepada empat tan sehektar akibat cuaca dan penyakit tanaman. Pada masa sama, India melarang eksport beras putih, manakala Bernas menaikkan harga beras import kira-kira 36 peratus.

Harga beras tempatan pula kekal dikawal pada RM26 bagi kampit 10 kg berbanding RM39 bagi beras import. Pengguna beralih kepada beras tempatan yang lebih murah ketika bekalannya semakin berkurangan sehingga produk itu sukar didapati di pasaran.

Setiap masalah mungkin boleh ditangani secara berasingan, tetapi apabila berlaku serentak, pilihan pengguna semakin terhad.

 

Apakah peranan kerajaan dalam memperkukuh rantaian bekalan negara dan adakah Belanjawan 2027 sudah memadai?

Kerajaan perlu memastikan keseluruhan rantaian bekalan terus berfungsi kerana sesetengah masalah tidak mampu ditangani oleh perniagaan secara bersendirian.

Belanjawan 2027 menyediakan beberapa langkah bermakna termasuk tambahan RM5 bilion kepada Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS dan pengurangan kadar cukai PKS kepada 14 peratus bagi pendapatan RM150,000 pertama.

Pesawah turut menerima bantuan RM2.62 bilion, manakala peruntukan pembaikan jalan pertanian digandakan kepada RM100 juta.

Namun, persediaan menghadapi gangguan input makanan perlu diperkukuh memandangkan Malaysia masih mengimport sebahagian besar keperluan baja, .sedangkan insentif khusus bagi baja foliar dan bio adalah RM20 juta.

Kerajaan dan industri perlu mempunyai pelan awal sekiranya bekalan baja, makanan ternakan atau bahan api terganggu, termasuk mengenal pasti sumber alternatif.

Keberkesanan Belanjawan 2027 akhirnya bergantung kepada pelaksanaan, khususnya memastikan bekalan air dan input pertanian sampai kepada petani ketika diperlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini