KUALA PILAH: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mempergiat penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) dan sistem fertigasi bagi meningkatkan pengeluaran benih serta tanaman bawang merah tempatan ke arah pengkomersialan.
Ketua Pengarahnya, Dr. Sanimah Simoh berkata, penggunaan teknologi itu membolehkan pengurusan nutrien tanaman dilakukan secara lebih seragam dan sistematik selain mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja serta kos operasi ladang.
Menurutnya, integrasi teknologi IoT dengan struktur pelindung hujan (rain protection house) turut membantu meningkatkan kualiti benih bawang merah berbanding penggunaan kaedah konvensional.
“Bila adanya IoT itu, kualiti bawang kita lebih baik sebab kita boleh menggunakan kaedah tersebut secara seragam, di mana nutrien yang dimasukkan dapat disalurkan secara konsisten melalui sistem berkenaan.
“Memang kita menggalakkan penggunaan IoT ini bagi mengurangkan kos pekerja, dan ia merupakan sebahagian daripada persediaan untuk pengeluaran pada skala komersial pada masa akan datang,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat tapak projek pembangunan ladang contoh dan usahawan benih bawang merah di Tanjung Ipoh, di sini hari ini.
Mengulas perkembangan projek itu, Sanimah berkata, kapasiti penanaman menerusi ladang contoh yang dibangunkan bersama rakan strategik, Bawnas Sdn. Bhd. itu disasarkan mencapai 150,000 polibeg menjelang akhir tahun ini.
Katanya, kawasan penanaman itu turut dirancang untuk diperluaskan kepada 8.09 hektar (20 ekar) menjelang suku kedua 2027 sebagai langkah jangka panjang memperkukuh bekalan benih bawang merah tempatan.
Menurutnya, penggunaan teknologi pertanian pintar itu merupakan sebahagian daripada inisiatif fasa prapengkomersialan bagi tempoh 2024 hingga 2025 yang membabitkan 15 usahawan bimbingan di bawah Projek Khas Inisiatif Madani dan Projek Keterjaminan Makanan (PKM).
Beliau berkata, usaha berkenaan dijangka membantu mencapai sasaran negara untuk memenuhi sekurang-kurangnya 30 peratus keperluan bawang merah menerusi pengeluaran tempatan menjelang 2030, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan import. – UTUSAN











