PETALING JAYA: Pelaksanaan teknologi penuaian dan pascatuai mampu menjadi isu lambakan durian bermusim.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pengurusan lepas tuai yang berkesan mampu mengurangkan lambakan, khususnya ketika musim puncak pengeluaran durian.
Katanya, teknologi pemanjangan hayat simpanan membolehkan lebihan pengeluaran diurus secara sistematik, tanpa menjejaskan kualiti buah yang dihasilkan.
“Inovasi utama MARDI ialah teknologi penyejukbekuan kriogenik yang menggunakan nitrogen cecair dan ia mampu memanjangkan hayat simpanan durian sehingga enam bulan.
“Pihak kami turut membangunkan teknologi pembungkusan atmosfera terubahsuai (MAP) dan kawalan atmosfera (CA) yang membolehkan durian segar disimpan sehingga tiga minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penggunaan teknologi itu katanya, membolehkan peng-edaran durian dilaksanakan secara berperingkat, sekali gus mengurangkan tekanan lambakan mendadak di pasaran tempatan.
Mohamad Zabawi berkata, pendekatan tersebut turut membantu menstabilkan harga durian dan mengelakkan nilai jatuh ketika bekalan meningkat secara serentak.
“Dalam pada itu, teknologi pascatuai ini menyokong pelua-san pasaran termasuk eksport dengan memastikan kualiti durian kekal terpelihara sepanjang rantaian bekalan,” katanya.
Sementara itu, Pakar Agronomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Norida Mazlan berkata, lambakan durian berpunca daripada kelemahan perancangan industri dan tumpuan berlebihan kepada varieti klonal premium.
Katanya, integrasi pertanian moden dan teknologi pascatuai perlu dijadikan dasar menyeluruh bagi memastikan pengeluaran, kualiti dan pasaran dapat diseimbangkan.
“Kegagalan menyusun peralihan secara tersusun berisiko membebankan pekebun kecil yang masih menjadi tulang belakang bekalan durian tempatan,” katanya.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, pengusaha kebun durian menggesa kerajaan membantu dalam peralihan kepada kebun durian moden yang lebih tersusun dan mampan.
Langkah tersebut dilihat sebagai langkah penyelesaian bagi menstabilkan industri durian yang kini berdepan isu lambakan, kualiti tidak seragam dan kebergantungan kepada orang tengah. – UTUSAN










