CAMERON HIGHLANDS: Fenomena bunga tulip yang hanya mekar sekali setahun di Cameron Highlands menjadi tarikan pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan keindahan bunga berkenaan secara dekat.
Tarikan bermusim yang diusahakan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) di Taman Agroteknologi Cameron Highlands itu, memberi peluang orang ramai menikmati bunga beriklim sejuk tanpa perlu ke luar negara.
Pengurus Ladang MARDI Cameron Highlands, Nur Shahirah Jahuri berkata, tempoh bunga tulip berada pada tahap mekar sekitar 10 hari sahaja bergantung kepada keadaan cuaca.
“Bunga ini hanya berbunga dalam tempoh tertentu dan tidak lama, sebab itu pengunjung perlu datang pada waktu yang sesuai untuk melihatnya,” katanya.
Musim bunga itu berlangsung sekitar dua hingga tiga minggu setiap tahun sebelum ia layu.
Nur Shahirah berkata, penanaman bunga itu memerlukan kawalan rapi kerana faktor cuaca panas dan lembap menjadi cabaran utama di negara ini.
Beliau berkata, proses penanaman mengambil masa antara 12 hingga 16 minggu termasuk fasa dormant sebelum melalui proses penyejukan khas (vernalization).
Katanya, sebahagian bekalan bebawang tulip masih diimport dari luar negara kerana penghasilan tempatan masih dalam peringkat percubaan sejak projek itu dimulakan pada tahun 2022.
Kos penanaman tinggi dengan harga satu bebawang sekitar RM20 bergantung kepada kadar mata wang semasa.
Sementara itu, pihaknya menyasarkan peningkatan jumlah tanaman sehingga 2,000 pokok dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang sekiranya keadaan persekitaran sesuai. – UTUSAN










