Belajar di rumah dengan lebih berkesan

Belajar di rumah dengan lebih berkesan

PEMBELAJARAN secara dalam talian boleh dilihat melalui peluang pelajar mendapatkan bantuan, menyumbang idea dan menerima maklum balas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG pelajar boleh mengikuti kelas dalam talian sehingga tamat tanpa mengemukakan satu soalan atau berbual dengan sesiapa.

Namanya tercatat dalam rekod kehadiran, namun pendidik mungkin tidak mengetahui bahawa dia masih keliru, ketinggalan dalam pelajaran atau segan meminta bantuan.

Apabila jerebu mengganggu pelaksanaan kelas bersemuka, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta pembelajaran dalam talian menjadi pilihan untuk meneruskan pendidikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam keadaan ini, perhatian perlu diberikan kepada pengalaman pelajar sepanjang proses pembelajaran, termasuk peluang mereka berinteraksi dengan pendidik dan rakan sekelas.

Nota yang lengkap dan penerangan yang jelas tetap penting. Namun, pelajar juga memerlukan ruang untuk bertanya, berkongsi pandangan dan menerima maklum balas.

Hubungan ini membantu pendidik mengenal pasti kesukaran pembelajaran serta memberi sokongan yang bersesuaian. Interaksi yang bermakna turut mempunyai kaitan dengan kesejahteraan psikologi.

Apabila pelajar merasakan pandangan mereka dihargai dan bantuan boleh diperoleh, mereka berpeluang membina keyakinan serta rasa diterima sebagai sebahagian daripada komuniti pembelajaran.

Penggunaan platform semata-mata tidak menjamin peningkatan kesejahteraan psikologi.

Suasana pembelajaran yang menyokong perlu dibina melalui amalan pendidik secara berterusan.

Unsur permainan juga perlu digunakan dengan pertimbangan. Pendidik wajar menilai sama ada tekanan masa atau paparan kedudukan membantu pembelajaran sesuatu kumpulan.

Pelajar boleh diberi masa yang munasabah untuk berfikir serta peluang membetulkan jawapan selepas menerima penerangan.

Pada masa yang sama, tahap akses pelajar perlu diambil kira. Ada yang berkongsi peranti dengan ahli keluarga atau bergantung pada sambungan internet yang tidak stabil.

Sumbangan melalui forum atau papan perbincangan boleh dibenarkan dalam tempoh tertentu supaya pelajar mempunyai ruang untuk mengambil bahagian mengikut keadaan mereka.

Pendidik juga boleh memulakan kelas dengan pertanyaan ringkas tentang kesediaan belajar dan menutup sesi dengan soalan tentang perkara yang masih belum difahami. Saluran peribadi perlu disediakan untuk pelajar menyampaikan kesukaran yang tidak sesuai dikongsi secara terbuka.

Pelajar yang memerlukan bantuan lanjut boleh dihubungkan dengan perkhidmatan sokongan institusi. Pada peringkat pengurusan pula, latihan, bimbingan pedagogi dan jangkaan beban tugas yang munasabah membantu pendidik menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih terancang.

Ketika jerebu mengehadkan pertemuan fizikal, hubungan dalam komuniti pembelajaran perlu terus dipelihara.

Kejayaan PdPR atau pembelajaran secara dalam talian boleh dilihat melalui peluang pelajar mendapatkan bantuan, menyumbang idea dan menerima maklum balas yang membantu mereka maju.

Satu soalan yang disambut dengan baik atau satu respons yang membina boleh menjadi permulaan kepada pengalaman pembelajaran yang lebih menyokong dan bermakna. – UTUSAN

DR. MOHD. ZULFADLI ROZALI
Ketua Jabatan Pusat Pembelajaran Maya, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini