Sekolah di Perlis jalani PdPR jika suhu lebih 37 darjah Celsius berturutan

Sekolah di Perlis jalani PdPR jika suhu lebih 37 darjah Celsius berturutan

SESI persekolahan di Perlis berjalan seperti biasa, namun akan ditangguh dan digantikan dengan PdPR sekiranya suhu tertinggi harian direkodkan melebihi 37 darjah Celcius bagi tempoh melebihi tiga hari berturut-turut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sesi persekolahan di negeri ini berjalan seperti biasa namun akan ditangguh dan digantikan dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya suhu tertinggi harian direkodkan melebihi 37 darjah Celcius melebihi tiga hari berturut-turut. 

Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin berkata, jika suhu tertinggi harian direkodkan melebihi 35 hingga 37 darjah Celcius selama tiga atau lima hari berturut-turut pula maka aktiviti luar bilik darjah perlu dihadkan.

Katanya, penangguhan sesi persekolahan dan pelaksanaan PdPR itu adalah termaktub di dalam pelan tindakan bagi menangani gelombang haba.

“Semua penganjuran aktiviti luar seperti acara sukan dan kokurikulum akan ditangguhkan terlebih dahulu jika suhu melebihi 35 hingga 37 darjah Celcius. 

“Malah perhimpunan juga boleh diadakan di dalam dewan dengan mengambil kira tempoh yang tidak terlalu lama, peredaran udara dalam dewan adalah baik dan pelajar hendaklah duduk sepanjang majlis berlangsung,” katanya di sini hari ini. 

Rose Aza berkata, berikutan cuaca panas, Jabatan Pendidikan negeri turut memberi kelonggaran murid dan pelajar memakai t-shirt sukan sepanjang sesi persekolahan. 

Katanya, para pelajar turut digalakkan untuk membawa air kosong dan minum dengan kerap.

“Pelajar yang berjalan kaki atau berbasikal ke sekolah pada musim panas ini pula digalakkan menggunakan payung atau topi dan mereka yang menunggu ibu bapa juga dinasihat berlindung di tempat teduh,” katanya. 

Beliau berkata, sekiranya ada pelajar yang mengalami gejala kesihatan berkaitan haba, mereka hendaklah segera memaklumkan kepada guru untuk tindakan selanjutnya. 

Katanya, ibu bapa dan guru turut diminta mendapatkan perkhidmatan kesihatan dengan segera jika terdapat pelajar didapati tidak sihat atau mempunyai tanda-tanda amaran berkaitan.

“Jabatan Pendidikan negeri juga sentiasa memantau rapat perkembangan suhu semasa di Perlis sepertimana dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN