PdPR ditamatkan, 86,030 pelajar di Kota Setar, Pendang kembali ke sekolah

PdPR ditamatkan, 86,030 pelajar di Kota Setar, Pendang kembali ke sekolah

GURU Matematik Tambahan, Nur Atina Osman mengajar kelas hibrid melibatkan pelajar yang tinggal di asrama ketika proses PdPR dilaksanakan di SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) melibatkan 86,030 pelajar di Kota Setar dan Pendang akan ditamatkan hari ini sebelum mereka kembali ke sekolah bermula esok.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, keputusan itu dibuat susulan kedua-dua daerah itu kembali mencatatkan bacaan suhu Tahap 1 (berjaga-jaga) iaitu antara 35 hingga 37 darjah celcius, sejak semalam.

“JPN sentiasa memantau tahap bacaan suhu yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum menentukan pelaksanaan PdPR di negeri ini.

“Dalam sehari dua ini sudah berlaku hujan dan bacaan suhu menunjukkan trend menurun kepada Tahap 1 sebab itu sesi PdPR dilaksanakan bagi mengelak murid terdedah dengan cuaca panas,” katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun akan beroperasi seperti biasa, segala aktiviti di sekolah akan dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah disediakan dan akan diedarkan kepada pihak sekolah, waris dan juga pelajar.

“Pastikan murid ini terlindung daripada cuaca panas serta minum air dengan jumlah yang banyak dan sepanjang sesi PdPR juga semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang cuma ada beberapa kekangan antaranya murid terpaksa berkongsi gajet dengan ibu bapa.

“Tetapi, walau apa pun kekangan yang dihadapi, proses pembelajaran mereka berjaya diteruskan dan selesai dengan jayanya, cuma lokasi dan masa sahaja yang berbeza,” katanya.

Sebelum ini, JPN memaklumkan seramai 86,030 pelajar terlibat dalam pelaksanaan PdPR selama tiga hari bermula Ahad lalu yang melibatkan 65,634 pelajar dari 154 sekolah di daerah Kota Setar, manakala 20,396 pelajar dari 52 sekolah di Pendang.

Kesemua 206 sekolah di dua daerah itu melaksanakan PdPR berikutan Kota Setar dan Pendang mencatatkan gelombang haba Tahap 2, sejak Khamis lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN