Tujuh sekolah ditutup sementara, laksana PdPR

Tujuh sekolah ditutup sementara, laksana PdPR

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Sebanyak tujuh buah sekolah di daerah ini terpaksa ditutup sementara susulan insiden kebakaran sebuah kilang memproses getah dan plastik di Taman Perindustrian Sengkang yang masih belum dipadam sepenuhnya, sejak kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, kesemua sekolah tersebut telah diarah tutup sementara oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulai sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

Katanya, sekolah yang ditutup adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang; SJKC Kulai Besar; Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai; SK Taman Kota Kulai 2; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Kulai; SMK Taman Putri dan Sekolah Agama Taman Kota Kulai.

“Sepanjang tempoh penutupan, semua sekolah diminta melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Aznan, kerajaan negeri komited memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak, guru-guru serta kakitangan sekolah di kawasan terlibat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Rohani Nadir memberitahu, lebih daripada 90 peratusan kawasan kebakaran kilang tersebut telah berjaya dipadamkan.

“Operasi pemadaman dibuat mengikut tiga sektor yang telah dibahagikan. Pemadaman dibuat menggunakan pili bomba serta sumber air terbuka oleh seramai 34 anggota bomba.

“Kerja-kerja pemunggahan pula dibuat dengan menggunakan empat unit jengkaut milik Majlis Perbandaran Kulai serta pihak syarikat bagi memastikan kebakaran di lapisan bawah longgokan turut dipadamkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN