KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, kira-kira pukul 4.26 petang tadi.
Berita pemergian Allahyarhamah disahkan oleh Ketua Penerangan Pas Perlis, Zahid Ibrahim menerusi satu hantaran di laman Facebook.
“Dukacita dimaklumkan bahawa YB Wan Badariah Wan Saad, ADUN Mata Ayer telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, 31 Oktober 2026, pukul 4.26 petang di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Pada Mei 2024, Utusan Malaysia melaporkan Wan Badariah terpaksa ditidurkan bagi memberi rehat secukupnya selepas mengalami komplikasi akibat penyakit tiriod.
Beliau kemudian dilaporkan semakin pulih dan kembali menjalankan perkhidmatan sebagai ADUN.
Sebagai rekod, Wan Badariah pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Beliau yang merupakan seorang peguam berasal dari Padang Siding, Arau itu muncul calon wanita pertama dinamakan Pas Perlis bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).-UTUSAN











