Pusat data disasar guna 30 peratus tenaga boleh baharu

Pusat data disasar guna 30 peratus tenaga boleh baharu

FADILLAH Yusof
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan penetapan penggunaan sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga boleh baharu daripada jumlah kapasiti atau penggunaan tenaga bagi pusat data.

Langkah itu bagi mengurangkan kebergantungan industri itu terhadap bekalan elektrik daripada grid nasional.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha memastikan pertumbuhan pesat industri pusat data tidak menjejaskan kestabilan bekalan elektrik negara, selain mengelakkan pemindahan kos kepada pengguna lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan telah meluluskan penetapan penggunaan sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga boleh baharu daripada jumlah kapasiti ataupun penggunaan tenaga bagi pusat data. Pusat data turut digalakkan menyertai corporate renewable energy supply scheme, ataupun CRES, untuk mendapatkan bekalan tenaga hijau secara langsung.

“Dalam konteks ini, Suruhanjaya Tenaga sedang membangunkan kerangka dan garis panduan menyeluruh mengenai kemudahan penjanaan sendiri dan penetapan penggunaan 30 peratus. Tenaga boleh baharu bagi diguna pakai oleh sektor pusat data,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang meminta kementerian menjelaskan pelan kontingensi kerajaan untuk memastikan operasi pusat data tidak mengganggu keperluan penggunaan elektrik dan air rakyat ketika kemarau atau gangguan bekalan, termasuk syarat penggunaan pada waktu krisis.
Di samping itu, katanya lagi, pusat data juga perlu melengkapkan backup generator bagi tujuan kawalan permintaan khususnya mengurangkan tekanan tambahan pada sistem grid semasa tempoh kritikal.

“Kerajaan juga akan terus memantau pertumbuhan industri pusat data serta melaksanakan penilaian risiko dan langkah mitigasi yang bersesuaian. Di samping mengemas kini perancangan penjanaan serta grid secara berkala berdasarkan perkembangan permintaan sebenar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini