Bahaya serah keputusan hartanah kepada AI

Bahaya serah keputusan hartanah kepada AI

AI tidak boleh menggantikan pengetahuan asas mengenai hartanah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM belanjawan 2027, kerajaan mengumumkan tambahan 100,000 langganan kecerdasan buatan (AI) percuma untuk golongan muda, termasuk memperluaskan inisiatif itu kepada aplikasi seperti ChatGPT.

Pengasas Komuniti Perjuang Hartanah dan Pendidik Hartanah, Datuk Ahyat Ishak berkata, AI merupakan antara teknologi paling berkuasa dalam sejarah manusia, namun penggunaannya tidak datang bersama panduan lengkap yang sesuai untuk setiap keadaan dan keputusan dalam kehidupan.

“AI dijangka semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian termasuk untuk bekerja, belajar, mengurus kehidupan dan membantu membuat keputusan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Potensinya besar untuk memudahkan kehidupan, tetapi risikonya juga tidak boleh dipandang ringan jika digunakan tanpa pengetahuan dan pertimbangan yang sewajarnya.

“Kesilapan memilih ayat untuk hantaran media sosial mungkin boleh diperbetulkan segera, tetapi kesilapan membeli rumah boleh melibatkan ratusan ribu ringgit serta komitmen hutang selama berdekad-dekad,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Katanya, keputusan yang salah bukan sahaja memberi kesan terhadap kedudukan kewangan, malah berpotensi menjejaskan kesejahteraan keluarga.

Justeru, Ahyat Ishak berkongsi lima perkara yang perlu diberi perhatian apabila menggunakan AI dalam membuat pertimbangan berkaitan hartanah.

  1. Kenal pasti tujuan sebelum meminta cadangan

Soalan seperti ‘rumah mana paling bagus untuk dibeli?’ tidak mempunyai satu jawapan yang sesuai untuk semua orang.

Pembeli perlu terlebih dahulu menentukan sama ada rumah itu untuk didiami atau disewakan, selain mengambil kira saiz keluarga, keperluan ibu bapa, kemampuan kewangan dan perancangan hidup pada masa hadapan.

Sebab itu, matlamat pembelian perlu dikenal pasti sebelum mendapatkan cadangan daripada AI.

Rumah yang sesuai untuk seseorang belum tentu memenuhi keperluan orang lain. Pembeli perlu menge­tahui destinasi kewangan dan kehidupan yang ingin dicapai sebelum meminta AI mencadangkan jalan untuk sampai ke sana.

  1. Minta rujukan dan semak sendiri

AI boleh memberikan maklumat yang salah dalam bentuk jawapan yang kelihatan meyakinkan.

Bagi setiap angka atau dakwaan penting, pengguna perlu meminta sumber asal, pautan rujukan, tarikh maklumat dan kawasan yang diliputi.

Rujukan tersebut kemudian perlu dibuka dan diperiksa sendiri bagi memastikan sumber berkenaan benar-benar wujud, boleh disahkan serta menyokong maklumat yang diberikan.

Ini penting kerana rujukan yang diberikan AI juga berkemungkinan tidak tepat.

Pembelian hartanah tidak seharusnya dibuat berdasarkan fakta daripada sumber yang gagal disahkan. Pembeli juga perlu membezakan antara harga yang diiklankan dengan harga transaksi sebenar kerana kedua-duanya tidak semestinya menggambarkan nilai yang sama.

  1. Uji pelaburan dalam senario baik dan buruk

Unjuran pulangan hartanah boleh kelihatan menarik sekiranya pengiraan dibuat berdasarkan andaian yang terlalu optimistik.

Antara perkara yang perlu diperiksa ialah sama ada hartanah berkenaan diandaikan sentiasa mempunyai penyewa, kos pembaikan dan penyelenggaraan sudah diambil kira serta kadar kenaikan nilai yang digunakan munasabah untuk tempoh tersebut.

Minta AI menyatakan setiap andaian yang digunakan dan membuat pengiraan berdasarkan beberapa keadaan termasuk senario terbaik dan terburuk.

Antaranya, kira kesan sekiranya kadar sewa lebih rendah daripada jangkaan atau unit tidak mempunyai penyewa untuk tempoh tertentu.

Pengiraan itu juga perlu diperiksa semula kerana keuntungan yang ditunjukkan menerusi simulasi belum tentu sama dengan wang sebenar yang bakal diterima pemilik.

  1. Lindungi maklumat peribadi

Pengguna perlu berhati-hati sebelum memuat naik dokumen yang mengandungi maklumat peribadi seperti kad pengenalan, penyata bank, slip gaji atau dokumen penyewa ke dalam perkhidmatan AI.

Gunakan ringkasan kedudukan kewangan sekiranya maklumat itu sudah memadai untuk mendapatkan analisis yang diperlukan.

Butiran pengenalan yang tidak diperlukan pula wajar dipadamkan, selain pengguna perlu menyemak tetapan privasi dan memahami bagaimana sesuatu perkhidmatan mengendalikan data yang diberikan.

Perlindungan itu bukan hanya melibatkan maklumat sendiri, malah merangkumi data pasangan, ahli keluarga dan penyewa yang turut menjadi amanah untuk dijaga.

  1. Lengkapkan ilmu, turun padang dan rujuk pengamal

AI tidak boleh menggantikan pengetahuan asas mengenai hartanah.

Tanpa pemahaman asas, seseorang pengguna mungkin sukar mengenal pasti sama ada jawapan yang diberikan AI salah atau sesuatu cadangan itu tidak munasabah.

Sebaliknya, gunakan AI untuk membantu menyediakan soalan, membuat perbandingan awal dan menghasilkan senarai semakan sebelum mengambil langkah seterusnya.

Pembeli masih perlu melawat sendiri rumah dan kawasan yang ingin dibeli bagi menilai keadaan sebenar yang mungkin tidak dapat diterjemahkan menerusi data.

Dapatan daripada AI juga perlu disemak bersama pengamal berpengalaman yang terlibat secara langsung dalam urusan transaksi, pembiayaan, penyewaan atau pengurusan bangunan.

Pengalaman mereka mengendalikan masalah sebenar membolehkan perkara yang mungkin terlepas daripada analisis AI dikenal pasti sebelum keputusan besar dibuat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini