Anak muda perlu dilatih berfikir secara berprinsip

Anak muda perlu dilatih berfikir secara berprinsip

ANAK muda perlu dilatih mempunyai pegangan dari dalam diri yang membolehkan mereka menilai sesuatu perkara sebelum membuat keputusan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era ini terdapat kepelbagaian pandangan, pemikiran dan ideologi. Antara ideologi yang berpengaruh kini ialah relativisme. Relativisme merupakan kecenderungan pemikiran yang menganggap sesuatu perkara itu benar sekiranya mempunyai justifikasi yang rasional.

Seolah-olah apa sahaja boleh dianggap betul asalkan seseorang mempunyai hujah dan alasan untuk mempertahankannya. Apa yang ditonton, dibaca dan didengar setiap hari sedikit demi sedikit boleh membentuk cara mereka berfikir, membuat keputusan dan akhirnya bertindak.

Dalam kalangan anak muda hari ini, terdapat istilah seperti, iaitu Fear of Missing Out (FOMO), atau perasaan takut ketinggalan daripada sesuatu yang sedang menjadi ikutan dan You Only Live Once (YOLO) membawa maksud hidup hanya sekali.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dua istilah ini bukan sekadar istilah tetapi gambaran pemikiran anak muda ketika ini.

Sebagai contoh, seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang menerima pinjaman pendidikan, mereka mungkin terdorong membeli telefon pintar, alat solek atau beg tangan berjenama mahal kerana melihat rakan-rakan di sekelilingnya memiliki barangan tersebut.

Sedangkan wang itu sepatutnya diutamakan untuk keperluan pengajian dan kehidupan sebagai pelajar.

Situasi ini memberi gambaran bagaimana pengaruh luar boleh menguasai cara seseorang itu berfikir.

Apa yang dilihat akhirnya menimbulkan keinginan dan dari keinginan itu akan berlakunya tindakan yang mana seolah-olah pemikiran mengikut sahaja keinginan tersebut.

Lebih membimbangkan apabila seseorang mula merasakan bahawa dia juga perlu memiliki sesuatu hanya kerana orang lain memilikinya.

Sebab itulah anak muda perlu dilatih berfikir secara berprinsip. Mereka perlu mempunyai pegangan dari dalam diri yang membolehkan mereka menilai sesuatu perkara sebelum membuat keputusan.

Prinsip ini menjadi panduan dalam kehidupan, dengan prinsip sesuatu pemikiran itu akan diurus dengan betul dan akhirnya akan membentuk tindakan yang berprinsip.

Dalam konteks Malaysia, kita sebenarnya telah mempunyai prinsip yang mampu membentuk masyarakat yang sejahtera.

Melalui Rukun Negara yang meletakkan Kepercayaan kepada Tuhan sebagai prinsip pertama. Kedudukan ini meletakkan agama dan kerohanian dalam pembinaan masyarakat serta peradaban negara.

Bagi anak muda yang beragama, pegangan agama sepatutnya menjadi prinsip utama yang membentuk cara mereka berfikir.

Apabila prinsip agama ini benar-benar difahami dan dihayati, seseorang tidak mudah menjadikan populariti, tekanan rakan sebaya atau pengaruh media sosial sebagai penentu pemikiran dan tindakannya.

Kesedaran ini perlu dibina melalui pendidikan, bimbingan keluarga dan peringatan yang berterusan.

Anak muda perlu sentiasa dilatih untuk menjawab persoalan-persoalan besar dalam kehidupan seperti, apa tujuan hidup mereka yang persoalan itu akhirnya, akan melatih mereka berfikir secara berprinsip. – UTUSAN

DR. NOR HANANI ISMAIL
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP)
Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini