KANGAR: Persepsi wakaf hanya untuk golongan berada dan memiliki tanah atau harta yang banyak perlu diubah apabila generasi muda hari ini semakin memahami bahawa amalan berkenaan boleh dimulakan pada usia muda, mengikut kemampuan masing-masing.
Dalam dunia yang menyaksikan anak muda semakin celik mengenai simpanan, pelaburan dan perancangan kewangan, kesedaran mengenai wakaf juga dilihat semakin relevan diketengahkan sebagai sebahagian daripada budaya memberi dan tanggungjawab sosial.
Seorang eksekutif pengiklanan, Maya Marhaenis Sarif, 21, berkata, generasi muda sebenarnya mempunyai keinginan untuk menyumbang dan melakukan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat, namun konsep wakaf perlu diterangkan dalam bahasa yang lebih mudah dan dekat dengan kehidupan mereka.
Katanya, dahulu, ramai yang berpandangan wakaf memerlukan jumlah yang besar atau hanya sesuai apabila seseorang sudah mempunyai harta dan berkemampuan namun apabila difahami konsepnya, sebenarnya anak muda juga boleh mula mengikut kemampuan.
“Saya sendiri tahu mengenai kewujudan Wakaf Mara Madani dan bagi saya, lebih ramai anak muda perlu diperkenalkan kepada inisiatif seperti ini supaya wakaf tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang jauh daripada generasi kami,” katanya di sini hari ini.
Maya berkata, pendekatan komunikasi mengenai wakaf juga perlu berubah seiring dengan perkembangan zaman, termasuk memanfaatkan media sosial dan platform digital bagi menerangkan bukan sahaja cara untuk berwakaf, tetapi ke mana sumbangan disalurkan serta manfaat yang boleh dihasilkan daripadanya.
Katanya, secara tradisi, wakaf sering dikaitkan dengan tanah, masjid, sekolah agama atau bangunan namun konsep wakaf pada hari ini jauh lebih luas dan boleh dilaksanakan menerusi pelbagai bentuk, termasuk wakaf tunai.
“Dalam Islam, wakaf mempunyai kedudukan yang istimewa kerana manfaat daripada sesuatu diwakafkan boleh berterusan dan dinikmati oleh masyarakat,” katanya.

Pandangan itu turut dikongsi Nur Farah Aisyah Abdul Halim, 23, yang melihat nilai sebenar wakaf bukan semata-mata berdasarkan jumlah diberikan seseorang, tetapi manfaat berpanjangan boleh terhasil daripada sumbangan tersebut.
Katanya, yang pernah menyumbang kepada wakaf, termasuk melalui Wakaf Mara Madani berkata, pengalaman tersebut turut mengubah perspektifnya terhadap amalan berkenaan.
“Walaupun jumlah yang kita mampu sumbangkan mungkin kecil, apabila ramai orang melakukannya bersama-sama dan dana itu diuruskan dengan baik, jumlah yang kecil boleh berkembang menjadi sesuatu yang memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat.
“Jika masyarakat boleh memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan untuk simpanan, perbelanjaan hiburan atau keperluan harian, tidak mustahil sebahagian kecil daripadanya turut diperuntukkan untuk tujuan kebajikan dan wakaf,” katanya.-UTUSAN









