Baru-baru ini, seorang aktivis muda, Amshar Saifulezan yang pernah berkhidmat sebagai pembantu kepada bekas Senator Pulau Pinang, Amir Ghazali kini memilih untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) selain memainkan peranan dalam menggerakkan parti tersebut di Pulau Pinang.
Perkembangan ini mengingatkan saya kepada pengalaman sendiri yang pernah terlibat dalam dunia politik akar umbi.
Saya sebelum ini berkhidmat sebagai pembantu media kepada Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang sebelum beliau dilantik sebagai senator. Saya kemudiannya diberi peluang untuk membantu sebagai pembantu peribadi.
Selepas menamatkan peranan tersebut, saya meneruskan khidmat secara sukarela sebagai pembantu khas media kepada seorang Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
Sepanjang tempoh itu, banyak pengalaman dan pengajaran berharga diperoleh. Hubungan kerja yang terjalin dengan pelbagai pemimpin parti, termasuk tokoh wanita muda di Permatang Pauh, meninggalkan kenangan serta penghargaan yang sukar dilupakan.
Dalam politik, setiap individu mempunyai penilaian dan pertimbangan tersendiri mengenai hala tuju perjuangan mereka. Begitu juga dengan keputusan yang dibuat Amshar.
Walaupun latar belakang, pengalaman dan kedudukan kami berbeza, hakikat beliau memilih jalan yang berlainan daripada kebiasaan menunjukkan semakin ramai anak muda berani membuat pilihan berdasarkan keyakinan masing-masing.
Perubahan seperti ini tidak semestinya perlu dilihat sebagai penolakan terhadap mana-mana pihak. Sebaliknya, boleh dianggap sebagai sebahagian daripada dinamika politik yang sihat dalam sebuah negara demokrasi.
Parti-parti politik juga boleh mengambil peluang untuk mendengar pandangan generasi muda, memahami aspirasi mereka dan memperkukuh hubungan dengan akar umbi.
Di Pulau Pinang, perkembangan ini mungkin menandakan kemunculan gelombang baharu dalam landskap politik anak muda. Sama ada berkembang menjadi gerakan yang lebih besar atau sekadar perubahan biasa, biarlah masa yang akan menentukan.
Yang pasti, suara dan penyertaan generasi muda akan terus menjadi faktor penting dalam mencorakkan masa depan politik negara. – UTUSAN
CTJ
Pulau Pinang










