SUATU ketika dahulu, dapur merupakan nadi sesebuah rumah. Hari ini, keadaan itu semakin berubah. Tidak keterlaluan jika dikatakan ramai anak muda kini lebih mengenali aplikasi penghantaran makanan berbanding peralatan asas di dapur sendiri.
Ini bukan sekadar soal “malas memasak” seperti yang sering diperkatakan. Isunya jauh lebih besar dan kompleks. Kita sedang menyaksikan perubahan budaya makanan yang perlahan-lahan mengubah hubungan masyarakat dengan makanan, keluarga dan kemahiran hidup itu sendiri.
Kemunculan budaya makanan segera dan perkhidmatan penghantaran makanan telah menjadikan makanan lebih mudah diperoleh berbanding sebelum ini.
Dengan hanya beberapa sentuhan pada telefon pintar, makanan boleh tiba di depan pintu rumah dalam masa kurang daripada sejam. Bagi masyarakat moden yang sibuk, keadaan ini sememangnya memudahkan kehidupan harian.
Namun, ramai anak muda hari ini tidak lagi melihat memasak sebagai satu kemahiran asas yang penting. Memasak semakin dianggap sebagai sesuatu yang menyusahkan, memakan masa dan tidak lagi relevan dalam gaya hidup moden.
Akibatnya, ramai yang memasuki alam dewasa tanpa mampu menyediakan hidangan asas untuk diri sendiri.
Lebih membimbangkan, budaya memasak dalam keluarga juga semakin berkurangan. Dahulu, dapur menjadi ruang interaksi sosial dalam rumah. Anak-anak belajar memasak secara tidak langsung melalui pemerhatian dan penglibatan bersama ibu bapa atau datuk nenek.
Hari ini, waktu makan sering digantikan dengan makanan dibeli di luar, manakala masa bersama keluarga pula semakin terhad.
Dalam jangka panjang, kehilangan budaya memasak bukan sekadar menyebabkan hilangnya resipi tradisional. Ia turut memberi kesan terhadap kesihatan, ekonomi rumah tangga dan keterjaminan sistem makanan negara.
Masyarakat yang terlalu bergantung kepada makanan luar menjadi lebih terdedah kepada kenaikan harga makanan dan ketidakstabilan bekalan makanan.
Ironinya, generasi muda hari ini sebenarnya sangat berminat terhadap makanan. Makanan tular, kafe estetik, dan kandungan makanan di media sosial membuktikan makanan masih menjadi sebahagian besar daripada gaya hidup masyarakat moden.
Namun, hubungan dengan makanan kini lebih bersifat pengguna berbanding penghasil. Kita semakin gemar melihat, membeli dan berkongsi gambar makanan, tetapi semakin kurang terlibat dalam proses penyediaannya.
Banyak masakan tradisional memerlukan kemahiran, kesabaran dan pengetahuan yang tidak boleh dipelajari melalui aplikasi penghantaran makanan. Jika generasi muda tidak lagi memasak, siapakah yang akan mewarisi pengetahuan kulinari tempatan pada masa akan datang?
Sudah tentu, kita tidak boleh menyalahkan generasi muda sepenuhnya. Kos sara hidup yang tinggi, waktu kerja yang panjang, ruang rumah yang kecil dan gaya hidup bandar semuanya menyumbang kepada perubahan ini.
Dalam banyak keadaan, memasak di rumah juga tidak semestinya lebih murah atau lebih mudah.
Namun begitu, sebagai masyarakat, kita perlu mula melihat memasak bukan sekadar aktiviti domestik, tetapi sebagai kemahiran hidup yang penting. Memasak berkait rapat dengan kesihatan, pengurusan kewangan, hubungan sosial dan identiti budaya.
Kehilangan budaya memasak bermakna kita turut kehilangan sebahagian daripada nilai dan warisan masyarakat kita sendiri.
Mungkin sudah tiba masanya kita bertanya semula: Adakah dapur masih mempunyai tempat dalam kehidupan moden masyarakat Malaysia, atau ia bakal menjadi sekadar ruang yang semakin dilupakan? – UTUSAN
FIRDAUS ABD. HANAN
Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan
Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam










