Antara dua puteri dan peluang untuk anak muda

Antara dua puteri dan peluang untuk anak muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Belia Negara sering diraikan dengan kata-kata besar tentang anak muda, masa depan dan keberanian. Tetapi ujian sebenar kepada kata-kata itu bukan pada hari kita meraikan mereka.

Ujiannya berlaku ketika anak muda benar-benar diberi ruang untuk memikul sesuatu yang besar.

Dalam senario muzikal Puteri Gunung Ledang 2026 (PGL), ujian itu muncul dalam bentuk dua nama: Dua wanita muda. Dua Puteri. Satu legenda.

Sebelum pun tirai dibuka, ruang maya sudah riuh. Ada yang mempersoalkan kemampuan lakonan. Ada yang mempertikaikan nama keluarga. Ada yang bertanya dengan sinis, “Takkan ini sahaja pilihan yang ada?”.

PGL bukan produksi kecil, ia sudah lama menjadi sebahagian daripada memori seni persembahan negara. Maka apabila karya sebesar ini kembali ke pentas selepas hampir dua dekad, harapan yang tinggi itu tanda bahawa masyarakat masih menyayanginya.

Karya besar memang harus berani dinilai. Pilihan pelakon, kekuatan vokal, mutu lakonan dan tafsiran watak semuanya boleh dibahaskan kerana seni yang hidup memang harus terbuka kepada penilaian.

Tetapi penilaian memerlukan ruang dan waktu. Di sinilah garisnya perlu dibezakan: Kritik terhadap karya dan penghakiman terhadap orang yang belum sempat berkarya.

Apabila usia atau latar belakang dijadikan alasan untuk menolak seseorang lebih awal, perbincangan itu tidak lagi berlegar tentang seni semata-mata.

Ia tentang sikap meletakkan syarat yang terlalu tinggi kepada anak muda, sebelum ruang untuk membuktikan diri benar-benar diberikan.

PGL juga datang dengan banyak lapisan, daripada hikayat, filem, muzikal hingga wajah-wajah yang pernah menghidupkannya di pentas. Maka, perbincangan ini melangkaui nama Mila Mohsin mahupun Aisha Retno.

Ia bukan lagi hanya tentang siapa yang layak memegang watak Puteri, tetapi tentang sejauh mana kita bersedia melihat sebuah karya ikonik diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

Seni Melepaskan Sebuah Legenda
Apabila Datin Seri Tiara Jacquelina berdiri sebagai Gusti Putri Retno Dumilah pada tahun 2006, beliau tidak sekadar menghidupkan sebuah watak. Beliau menanam sebuah ingatan dalam jiwa penonton.

Malam demi malam, musim demi musim, PGL menjelma daripada legenda lama menjadi wajah, suara dan tubuh yang dikenang. Sehingga akhirnya, dalam imaginasi ramai rakyat Malaysia, nama Tiara dan Puteri akhirnya hampir tidak terpisah.

Bagi satu generasi, Tiara ialah wajah yang membuat Puteri bernyawa di pentas moden.

Namun setiap ikon juga pernah bermula sebagai seseorang yang diberi ruang. Sebelum Tiara menjadi lambang PGL, beliau sendiri pernah didukung oleh keberanian generasi kreatif terdahulu, Adlin Aman Ramlie, Allahyarham Mamat Khalid, Zahim Albakri, Saw Teong Hin, Dick Lee, Roslan Aziz, Raja Malek, Pat Ibrahim dan ramai lagi tangan-tangan penting yang membentuk PGL sebagai fenomena seni negara.

Legasi ini tidak lahir daripada seorang individu semata-mata. Ia lahir daripada keberanian kolektif yang percaya bahawa persembahan, bahasa, muzik, gerak dan emosi kita mampu berdiri megah di pentas besar, dengan mutu yang setanding karya dunia.

Kini, Tiara meneruskan rantaian itu sebagai penerbit dan pengarah yang membuka ruang kepada generasi baharu. Di situlah indahnya pewarisan, yang pernah diberi kepercayaan, kemudian membina legasi, akhirnya berjiwa besar untuk memberi ruang kepada generasi baharu.

Karya besar memang membawa beban sejarah. Tetapi yang tidak adil ialah menganggap mereka tidak mampu, hanya kerana mereka muda, baharu, atau belum memiliki sejarah panjang di pentas teater.

Aisha Retno dan Mila Mohsin, dalam banyak hal, ialah cerminan cabaran generasi hari ini: Melangkah dengan bakat sendiri, tetapi terus diukur dengan perbandingan dan penghakiman awal.

Namun mungkin juga, melalui mereka, PGL akan menemukan makna baharu dan menjadi lebih dekat dengan generasi yang belum pun lahir ketika pementasan asalnya mencipta fenomena.

Dari Pentas Seni ke Ruang Kepimpinan
Di sinilah analogi seni bertemu dengan realiti kepimpinan. Seni tidak pernah wujud dalam ruang kosong. Cara masyarakat bertindak balas terhadap sebuah karya sering mendedahkan nilai dan cabaran sosial yang lebih luas.

Dalam seni, anak muda sering dihakimi sebelum berkarya. Dalam politik, mereka diraikan sebagai masa depan, tetapi jarang diberi peluang memimpin kerana dianggap “belum cukup pengalaman”.

Sedangkan pengalaman tidak lahir daripada penantian, ia lahir daripada amanah, kepercayaan dan keberanian untuk membuka ruang.

Realitinya, Malaysia mempunyai 7.4 juta belia berusia 15 hingga 30 tahun, sekitar 21.6 peratus atau lebih satu per lima daripada populasi negara hari ini.

Namun angka sebesar itu tidak semestinya diterjemahkan kepada kepercayaan. Jurang ini bukan masalah Malaysia semata-mata.

Laporan Inter-Parliamentary Union menunjukkan hanya 2.8 peratus ahli Parlimen dunia berusia 30 tahun ke bawah, sedangkan separuh populasi dunia berusia bawah 30 tahun.

Dalam laporan 2025, angka itu masih kekal pada paras yang sama. Ini bermakna krisis kepercayaan terhadap anak muda dalam politik bukan sekadar persepsi. Ia sudah menjadi pola di seluruh dunia.

Mungkin itulah cerminan sebenar Hari Belia Negara, ia merupakan ujian kepada keberanian kita sebagai sebuah negara. Bukan keberanian anak muda untuk tampil di hadapan semata-mata, tetapi keberanian generasi terdahulu untuk membuka jalan dan berkongsi ruang.

Namun ruang juga harus datang bersama disiplin. Dalam PGL, Hang Tuah mengingatkan bahawa keberanian perlu berpaut pada tanggungjawab bersama dan kesetiaan kepada perjuangan mengatasi kepentingan diri.

Setiap karya, organisasi, gerakan dan negara akan tiba pada saat peralihannya. Anak muda tidak kebal daripada kritikan. Mereka juga mesti diuji, ditegur dan dipertanggungjawabkan. Tetapi, kita tidak seharusnya menutup pintu sebelum mereka sempat mengetuknya.

Moga lebih banyak pintu diketuk oleh belia negara dan lebih banyak ruang transisi dibuka buat mereka. Kerana legasi ialah jambatan dan jambatan tidak dibina hanya untuk dikagumi dari jauh. Ia dibina untuk dilalui oleh generasi seterusnya. – UTUSAN

NADIA Nazri ialah Eksekutif Penyelidik Kanan Badan Pemikir POLITY.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN