El Clasico: Barcelona buru jurang sembilan mata

El Clasico: Barcelona buru jurang sembilan mata

Lamine Yamal menjadi taruhan Barcelona dalam pertembungan El Clasico menentang Real Madrid, Isnin ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA: Barcelona mengintai peluang melebarkan jurang kepada sembilan mata ke atas seteru tradisi, Real Madrid apabila kedua-dua gergasi Sepanyol itu bertembung dalam aksi El Clasico di Camp Nou, Isnin ini.

Namun, kekalahan pertama musim ini kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah tempoh hari sedikit sebanyak merencatkan persiapan skuad kendalian Hansi Flick itu menjelang pertembungan panas itu.

Sebaliknya, Real hadir dengan momentum lebih meyakinkan selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut, termasuk membelasah RB Leipzig pada Rabu, sekali gus memperlihatkan perkembangan positif di bawah kendalian Jose Mourinho.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun berdepan tekanan selepas kekalahan di Eropah, Barcelona masih memiliki kelebihan enam mata berbanding Madrid yang menghuni tangga ketiga, selain bakal mendapat suntikan apabila Raphinha kembali cergas dan sensasi remaja, Lamine Yamal, terus mempamerkan aksi menakjubkan.

Ketiadaan Vinicius Junior yang digantung empat perlawanan turut membuka ruang buat Mourinho menyusun strategi lebih seimbang, dengan pemain sayap remaja Yan Diomande antara pilihan untuk mengisi kekosongan itu.

Akhbar Sepanyol, AS, melaporkan penggantungan Vinicius dilihat lebih sebagai penyelesaian berbanding masalah buat Madrid, terutama ketika Mourinho masih mencari formula terbaik untuk mengimbangi kekuatan serangan dan pertahanan pasukannya.

Bagaimanapun, Barcelona juga berdepan masalah di benteng pertahanan apabila Eric Garcia, Andreas Christensen dan Dani Olmo diketepikan akibat kecederaan, manakala Jules Kounde masih diragui untuk diturunkan.

Kelemahan pertahanan itu terserlah ketika Barcelona dibolosi empat gol oleh PSG, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan garisan pertahanan tinggi yang menjadi sebahagian daripada pendekatan Flick.

“Kami melakukan terlalu banyak kesilapan, terutama ketika menguasai bola dan kehilangan bola dengan mudah. Inilah perkara yang perlu kami analisis,” kata Flick.

Namun, ketajaman jentera serangan Barcelona kekal menjadi senjata utama apabila mereka meledak sekurang-kurangnya dua gol dalam setiap perlawanan musim ini, dengan purata lebih empat gol bagi setiap aksi. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini