BARCELONA: FC Barcelona terus menggegarkan jendela perpindahan Eropah apabila mengesahkan kehadiran penyerang sayap England, Anthony Gordon dari Newcastle United dengan nilai perpindahan yang mencecah 80 juta euro (RM369 juta).
Pemain berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak selama lima musim sehingga Jun 2031 sekali gus menjadi antara pembelian terbesar Barcelona sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Gordon hadir ke Nou Camp selepas meledak 17 gol musim lalu termasuk 10 jaringan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah untuk muncul penjaring terbanyak Newcastle.
Kehadiran pemain sayap lincah itu dijangka memperkuatkan jentera serangan Barcelona yang bakal kehilangan penyerang veteran Poland, Robert Lewandowski selain masa depan Marcus Rashford turut masih belum pasti.
“Sejak kecil bermain untuk Barcelona adalah impian terbesar saya kerana ini kelab terbesar di dunia.
“Saya tahu tanggungjawab itu sangat besar tetapi saya bersedia untuk cabaran ini dan teruja memikul tanggungjawab tersebut,” kata Gordon.
Barcelona juga dilaporkan masih mahu memperkuatkan pasukan apabila penyerang Atletico Madrid, Julian Alvarez terus dikaitkan dengan perpindahan ke Catalonia.
Dalam masa sama, penjualan Gordon menjadi antara urusan terbesar Newcastle selepas mereka sebelum ini menjual Alexander Isak kepada Liverpool FC pada musim panas lalu. – AGENSI/UTUSAN










