Sukar lihat dalam gelap, petanda retinitis pigmentosa

Sukar lihat dalam gelap, petanda retinitis pigmentosa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila lampu panggung wayang dipadamkan, kebanyakan kita masih mampu melihat keadaan sekeliling dalam suasana gelap.

Namun, ada segelintir individu yang mungkin mengambil masa lebih lama untuk menyesuaikan penglihatan dalam keadaan berkenaan.

Pakar Oftalmologi dan Perubatan Retina dan Penyakit Uvea di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Tara Mary George berkata, kesukaran melihat dalam persekitaran yang malap boleh menjadi antara petanda awal retinitis pigmentosa (RP).

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, RP merupakan penyakit mata genetik yang jarang berlaku.

Ia menjejaskan retina, sekali gus membawa kepada rabun malam dan kehilangan penglihatan periferal (sisi).

Katanya, RP bukanlah penyakit tunggal, tetapi sekumpulan keadaan retina keturunan yang tidak berfungsi dengan sempurna sejak dari awal lagi.

“Fungsi retina seakan pusat pemprosesan yang menukar cahaya kepada isyarat untuk dihantar ke otak sebagai imej.

“Dalam kes RP, mutasi genetik mengganggu proses ini, terutama pada sel rod, yang bertanggungjawab terhadap penglihatan dalam cahaya malap dan penglihatan periferal.

“Oleh kerana penyakit ini berkembang secara perlahan, simptomnya sering terlepas pandang,” katanya baru-baru ini.

Kata Tara Mary, semakin keadaan ini berkembang, pesakit mungkin mula mengalami penglihatan terowong dan melanggar objek berhampiran kerana sisi penglihatan mereka yang gelap.

Kesan berbeza

Walaupun RP adalah masalah genetik, namun setiap pesakit kebiasaannya akan mengalami pengalaman yang berbeza.

Ada yang mengalami simptom sejak kecil, manakala yang lain mungkin hanya menyedari perubahan dalam penglihatan mereka apabila dewasa.

Ini bergantung kepada mutasi genetik tertentu yang dialami.

“Sekiranya bahagian retina yang lebih kritikal terkesan, simptom-simptom akan muncul lebih awal dan biasanya lebih serius.

“Dalam kes yang lebih ringan, perubahan penglihatan hanya menjadi ketara pada usia dewasa,” jelasnya.

Tara Mary berkata, corak pewarisan juga berbeza disebabkan oleh pelbagai punca genetik.

Malah, ada kes yang berlaku tanpa sejarah jelas.

Kerumitan ini menyebabkan RP sering dirujuk sebagai distrofi retina keturunan.

“Justeru, pengesanan awal dan penjagaan tepat pada masanya adalah penting untuk pesakit memahami penyakit ini.

“Ia sekali gus membantu mereka membuat keputusan hidup dan sebarang tindakan seterusnya untuk memperlahankan perkembangannya,” katanya.

Penilaian awal, penjagaan berterusan

Proses diagnosis RP bukan semata-mata melibatkan pemeriksaan rutin mata.

Kebiasaannya, ia bermula dengan sejarah perubatan terperinci, diikuti ujian khusus seperti penilaian medan penglihatan dan imbasan tomografi koheren optic (OCT), yang boleh mengesan perubahan awal pada penglihatan serta struktur retina.

Dalam beberapa kes, elektroretinogram (ERG) mungkin digunakan untuk mengukur tahap tindak balas retina terhadap cahaya.

Namun, kata Tara Mary, pusat ujian ERG masih terhad di Malaysia.

“Sekiranya anda mengalami masalah penglihatan malam atau kesukaran untuk melihat dari sisi, jangan hanya menukar cermin mata.

“Segera berjumpa dengan pakar mata untuk penilaian yang betul,” sarannya.

Sementara itu, Pakar Oftalmologi dan Perubatan Retina dan Penyakit Uvea, Dr. Daphne Teh berkata, pendekatan rawatan kini tertumpu untuk membantu pesakit menyesuaikan diri dan terus hidup berdikari.

Penjagaan susulan termasuk ujian penglihatan, pengimejan retina dan rawatan untuk isu-isu berkaitan seperti katarak dan pembengkakan makula.

Selain rawatan klinikal, penyesuaian gaya hidup yang praktikal seperti meningkatkan pencahayaan di rumah, mengurangkan pemanduan pada waktu malam dan mengatur ruang tempat tinggal dengan lebih selamat boleh membantu pesakit menjalani kehidupan harian dengan lebih yakin.

Jelasnya, rujukan awal ke perkhidmatan rehabilitasi penglihatan terhad juga penting.

“Pesakit yang menyesuaikan diri awal cenderung untuk mengendalikan keadaan dengan lebih baik dalam jangka masa panjang.

“Pasukan perubatan pula akan memantau pesakit secara berkala untuk mengesan perkembangannya dan merawat sebarang komplikasi yang timbul,” katanya.

Teknologi, sokongan bantu pesakit

Kemajuan teknologi kini mengubah cara pesakit RP meneruskan hidup dan pekerjaan.

Alat seperti pembesar digital, perisian teks-ke-ucapan dan aplikasi telefon pintar boleh membantu pesakit membaca, mengenal objek, dan kekal berdikari.

Daphne berkata, pesakit juga boleh memanfaatkan aplikasi yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menerangkan persekitaran atau membaca teks pada masa nyata.

“Ini semua boleh membawa perubahan besar kepada kehidupan pesakit terutama apabila diperkenalkan awal,” katanya.

Selain teknologi, sokongan emosi juga penting dalam membantu pesakit menyesuaikan diri dengan keadaan mereka.

“Ramai yang bimbang diagnosis RP bermaksud kehilangan kebebasan diri, namun, dengan sokongan betul, ramai pesakit masih boleh belajar, bekerja dan menjalani kehidupan bermakna,” jelasnya.

Katanya, bagi yang baru didiagnosis, ketidakpastian sering kali menjadi bahagian yang paling sukar dihadapi.

Walaupun penyelidikan yang dijalankan, seperti terapi gen, membuka kemungkinan baharu untuk masa hadapan, tetapi usaha untuk meningkatkan kesedaran tetap menjadi perkara paling penting bagi memastikan pesakit mendapat penjagaan dan sokongan diperlukan.

“Saya sangat menekankan aspek pengetahuan, persediaan dan sokongan kerana ia mampu membawa perbezaan besar kepada pesakit.

“Ambil langkah demi langkah untuk memahami keadaan ini, dapatkan rawatan yang sesuai dan kenal pasti perkhidmatan sokongan yang tersedia kerana anda tidak bersendirian dalam menempuh perjalanan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini