Mahkamah Filipina gugurkan dua pertuduhan pemecatan Sara Duterte

Mahkamah Filipina gugurkan dua pertuduhan pemecatan Sara Duterte

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Mahkamah pemecatan Filipina pada Selasa meluluskan permohonan pendakwa untuk menggugurkan dua pertuduhan terhadap Naib Presiden, Sara Duterte, termasuk dakwaan mengugut untuk membunuh presiden.

Ia sekali gus menjadikan tuduhan kekayaan yang tidak diisytiharkan sebagai satu-satunya pertuduhan yang masih dikekalkan.

Pendakwa raya yang memohon supaya pertuduhan rasuah digugurkan daripada kes itu minggu lalu, pada Selasa meminta dakwaan penyalahgunaan dana dan ugutan bunuh terhadap Presiden, Ferdinand Marcos Jr. turut digugurkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sara, anak perempuan bekas Presiden, Rodrigo Duterte dibicarakan di hadapan Senat Filipina selama beberapa bulan. Sabitan terhadap mana-mana daripada empat pertuduhan asal boleh menyebabkan beliau dilarang memegang jawatan yang dipilih melalui pilihan raya secara kekal.

Mahkamah masih meneliti pertuduhan terakhir yang dikekalkan itu. Oleh itu, Sara masih berdepan kemungkinan larangan berpolitik yang boleh menamatkan hasratnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 2028 sekiranya didapati bersalah.

“Perkara 1, 3 dan 4 tidak lagi menjadi sebahagian daripada Artikel Pemecatan dan tidak akan dikemukakan kepada anggota mahkamah untuk pengundian atau keputusan sabitan mahupun pembebasan,” kata Senator merangkap Pegawai Pengerusi Perbicaraan, Francis Escudero ketika meluluskan permohonan itu.

Keputusan di luar jangkaan pendakwa raya pada hari ke-39 perbicaraan itu dibuat selepas mereka mengemukakan bukti selama beberapa minggu bagi menyokong pertuduhan yang kini digugurkan.

Ketua Pendakwa, Gerville Luistro memberitahu tribunal keputusan itu akan memudahkan tugas mahkamah dan mempercepatkan penyelesaian perbicaraan yang bermula pada 6 Julai.

“Pihak pendakwaan percaya bukti yang dikemukakan mencukupi untuk membolehkan Perkara 2 iaitu kekayaan yang tidak diisytiharkan dikekalkan sebagai pertuduhan tunggal,” kata Luistro.

Pertuduhan itu merujuk dakwaan Sara gagal mengisytiharkan semua asetnya, sedangkan pegawai kerajaan diwajibkan berbuat demikian setiap tahun mengikut undang-undang.

“Kami mempertaruhkan segala-galanya dalam kes ini. Kami percaya bukti yang ada kukuh dan meyakinkan serta mewajarkan penyingkiran responden daripada jawatannya,” katanya.

Ketua Peguam Pembelaan, Sheila Sison menyifatkan keputusan itu benar-benar tidak adil, sambil menyatakan pihak pendakwaan sudah memanggil 14 saksi untuk mengemukakan bukti terhadap naib presiden itu.

Bulan lalu, dalam keputusan yang secara meluas dilihat sebagai tamparan kepada Sara, Senat yang mempunyai 24 anggota meluluskan ambang undi lebih rendah untuk mensabitkannya, sekali gus berpotensi memudahkan usaha menyingkirkannya daripada jawatan.

Dengan sekurang-kurangnya empat senator yang menyokong naib presiden itu kini tidak menghadiri perbicaraan selepas dua daripada mereka dipenjarakan, seorang lagi bersembunyi dan seorang lagi mendapat cuti perubatan lanjutan di luar negara, hanya 14 undi diperlukan untuk mensabitkannya.

Senator memutuskan keperluan Perlembagaan bagi keputusan sabitan dengan sokongan dua pertiga daripada semua anggota Senat hanya merujuk kepada anggota yang mampu mengambil bahagian.

Walaupun didakwa secara rasmi oleh Dewan Perwakilan, Sara masih mendahului tinjauan pendapat bagi Pilihan Raya Presiden 2028, menurut tinjauan bebas.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini