KANGAR: Seorang buruh etnik Rohingya direman seminggu di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, bagi membantu siasatan membabitkan kes penemuan rangka manusia pada Julai lepas.
Perintah reman sehingga 19 Oktober itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Natasha Rizal terhadap suspek berusia 38 tahun.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, suspek berkenaan ditahan di sebuah rumah di Kampung Behor Rotan Pahit, Sungai Berembang, Kuala Perlis, sekitar pukul 12 tengah hari, semalam.
“Suspek merupakan seorang pekerja kontrak dan pernah bekerja di kawasan Sungai Limau dan Kota Sarang Semut, Kedah, sejak dua bulan lalu,” katanya di sini hari ini
Yusharifuddin berkata, menerusi siasatan awal, suspek menyatakan bahawa dia hanya mengetahui mengenai kejadian penemuan tulang itu melalui kumpulan Whatssap sahaja.
Katanya, tiada sebarang pengakuan diperolehi buat masa ini malah keputusan ujian air kencing ke atas suspek juga adalah negatif.
“Permohonan reman terhadap suspek adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 19 Oktober depan,” katanya.
Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai penemuan satu rangka disyaki tulang manusia dalam sekarung guni di sebuah kebun berhadapan sebuah kilang beras di Kampung Behor Mali di sini.
Penemuan rangka itu dilaporkan oleh seorang warga emas berusia 61 tahun yang menemukan beberapa tulang tidak dikenal pasti dalam keadaan terkeluar daripada guni putih lusuh dan koyak dengan sebahagiannya tertimbus tanah serta ditutupi semak samun.
Pada 6 Ogos, polis mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan satu lagi guni disyaki berisi tulang manusia di tanah rizab milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sekitar kawasan berkenaan.-UTUSAN











