MANILA: Filipina bertindak menyekat sementara aplikasi permainan video Gorebox selepas siasatan awal mendapati seorang suspek remaja dalam kes tembakan jarang berlaku di sebuah sekolah adalah pemain tegar permainan berkenaan.
Dalam kejadian pada Isnin, tiga pelajar terkorban manakala 20 lagi cedera selepas dua suspek berumur 15 dan 14 tahun didakwa melepaskan tembakan menggunakan pistol di dalam sebuah bilik darjah di Tacloban, di tenggara Manila.
Pihak polis memaklumkan bahawa suspek berusia 14 tahun itu merupakan pemain Gorebox, iaitu sebuah permainan video yang membolehkan pemain memusnahkan apa sahaja yang dimahukannya, Pemain video itu terlibat dalam pertempuran kejam menggunakan pelbagai senjata dan bahan letupan, menurut keterangan aplikasinya di Google Play.
“Kami tidak boleh mengabaikan kemungkinan pengaruh dalam talian yang mungkin menyumbang kepada insiden tragis ini.
“Menyekat sementara permainan ini akan membolehkan pihak berkuasa menjalankan penilaian menyeluruh sama ada platform berkenaan memainkan peranan dalam tindakan para suspek,” kata Setiausaha Rendah di Pusat Penyelarasan dan Siasatan Jenayah Siber, Aboy Paraiso.
Gorebox merupakan permainan video menembak orang yang boleh dimainkan secara solo atau secara dalam talian bersama pemain lain. Kes tembakan besar-besaran jarang berlaku di Filipina, meskipun jenayah melibatkan senjata api bukannya sesuatu yang luar biasa dan kes-kes yang menggemparkan sering menjadi paparan utama berita.
Bagaimanapun, apa yang luar biasa dalam kes kali ini ialah, kedua-dua suspek merupakan golongan bawah umur. Lewat malam Selasa, pihak polis telah memfailkan pertuduhan membunuh terhadap suspek berusia 15 tahun.
Sementara itu, suspek berusia 14 tahun yang didakwa bermain Gorebox pula terlalu muda untuk didakwa di bawah undang-undang Filipina.– BBC










