PETALING JAYA: Peruntukan lebih besar bagi penyelenggaraan jalan ladang, pembiayaan tanam semula dan kawalan perosak dalam Belanjawan Madani 2027 dijangka membantu pekebun kecil kelapa sawit meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos pengeluaran.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Badrul Hisham Mohd. berkata, kemudahan pembiayaan dan peruntukan berkaitan merupakan antara langkah penting bagi membantu pekebun kecil mengurus kebun dengan lebih berkesan.
Menurutnya, sokongan itu juga perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti, mengurus kos pengeluaran dan memperkukuh pendapatan pekebun kecil dalam jangka panjang.
“Pada masa sama, peruntukan bagi pembangunan produk bernilai tinggi, penggunaan teknologi dan pemuliharaan alam sekitar membuka ruang untuk industri sawit terus berkembang secara lebih produktif dan mampan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam Belanjawan Madani 2027, peruntukan penyelenggaraan jalan ladang dinaikkan daripada RM50 juta kepada RM100 juta bagi memperbaiki kemudahan asas yang penting untuk pengangkutan input pertanian dan hasil sawit.
Kerajaan turut menyediakan RM100 juta bagi pembiayaan tanam semula sawit hibrid yang dijangka memberi manfaat kepada 4,500 pekebun kecil, dengan hanya 50 peratus pembiayaan perlu dibayar balik oleh penerima.
Selain itu, MPOB berkata, sebanyak RM200 juta diperuntukkan bagi skim pembiayaan mudah kepada pekebun kecil dan pemilik ladang yang mempunyai keluasan kebun sehingga 40 hektar.
Melalui skim berkenaan, katanya, bayaran balik ditangguhkan selama empat tahun, manakala penerima hanya menanggung kadar faedah empat peratus dengan baki faedah ditanggung kerajaan, tertakluk kepada syarat kelayakan.
Sementara itu, kerajaan turut memperuntukkan RM30 juta bagi menangani perosak dan penyakit tanaman, termasuk reput pangkal batang akibat jangkitan kulat Ganoderma, ulat bungkus dan koya pada tanaman sawit.
“Peruntukan itu juga merangkumi usaha menangani penyakit yang menjejaskan tanaman koko dan lada.
Langkah berkenaan penting bagi mengurangkan risiko kehilangan hasil, selain menyokong peningkatan produktiviti melalui pengurusan tanaman yang lebih baik.
“MPOB akan meneruskan sokongan menerusi penyelidikan, khidmat teknikal dan pengembangan bagi membantu pekebun kecil mengamalkan amalan pertanian baik,” katanya.
Dalam pada itu, bantuan subsidi RM400 sebulan di bawah inisiatif BUDI Agri-Komoditi turut disediakan kepada 290,000 pekebun kecil serta pengusaha sektor pertanian dan komoditi, berdasarkan jumlah yang dilaporkan setakat September 2026.
Belanjawan Madani 2027 turut memperuntukkan RM15 juta daripada kutipan ses bagi pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan habitat spesies terancam, termasuk harimau Malaya, gajah Borneo dan orang utan.
“Insentif cukai bagi teknologi hijau dan mampan turut dilanjutkan sehingga 31 Disember 2030, termasuk Elaun Cukai Pelaburan sehingga 100 peratus bagi projek serta aset teknologi hijau yang layak.
“Langkah itu dijangka membuka peluang kepada industri untuk meningkatkan pelaburan dalam teknologi yang menggalakkan penggunaan sumber secara lebih cekap dan menyokong pembangunan mampan,” katanya.
Selain itu, lebih RM1 bilion pembiayaan disediakan melalui Agrobank, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi membantu usahawan sektor pertanian meningkatkan produktiviti, termasuk melalui penggunaan teknologi.
Sebanyak RM40 juta turut diperuntukkan bagi pembangunan produk bernilai tinggi menggunakan teknologi moden.
Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kadar cukai pendapatan bagi pendapatan bercukai pertama RM150,000 dikurangkan kepada 14 peratus, manakala kadar bagi pendapatan bercukai melebihi RM150,000 hingga RM600,000 ditetapkan pada 16 peratus.
Langkah itu dijangka memberikan manfaat tambahan sehingga RM6,000 kepada 300,000 PMKS.
Belanjawan berkenaan turut meluluskan peruntukan RM1.26 bilion kepada FELDA bagi 2027 untuk memperkukuh kedudukan kewangan, menyelenggara jalan dan menyediakan perumahan bagi generasi baharu peneroka.
Seramai 109,000 peneroka dilaporkan memiliki tanah, manakala purata pendapatan bersih bulanan peneroka meningkat daripada RM2,272 pada 2023 kepada RM3,800 pada 2026. – UTUSAN










