WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan gencatan senjata melibatkan sektor tenaga antara Ukraine dan Russia.
Dalam hantaran di media sosial, Trump mendakwa kedua-dua negara sudah mencapai persetujuan berkenaan.
“Berkuat kuasa serta-merta, gencatan senjata tenaga dilaksanakan dalam perang antara Russia dan Ukraine. Kedua-dua pihak bersetuju. Jangan langgarnya!” tulis beliau menerusi platform Truth Social.
Bagaimanapun, Trump tidak memberikan butiran lanjut mengenai perjanjian itu.
Pengumuman itu dilaporkan dibuat tanpa berunding dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang menyifatkan perjanjian menghentikan serangan jarak jauh itu sebagai berita baharu baginya.
Zelensky berkata, beliau terkejut dengan pengumuman berkenaan, namun bersedia menerima persetujuan itu sekiranya Presiden Russia, Vladimir Putin turut bersetuju melaksanakannya.
“Jika Trump merundingkannya dengan Putin, sila maklumkan kepada kami bila gencatan senjata itu bermula. Kami bersedia dan akan menerimanya,” kata Zelensky kepada laman web berita Axios.
Terdahulu, Zelensky menolak tuntutan Trump pada Sabtu supaya Kyiv menghentikan serangan terhadap kilang penapisan minyak Russia.
Zelensky berkata, Moscow perlu terlebih dahulu menghentikan serangan kejam terhadap infrastruktur tenaga Ukraine.-AGENSI











