WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa Ukraine menggantikan Volodymyr Zelensky dengan presiden baharu, sambil mengecam serangan Kyiv terhadap kilang penapisan minyak Russia yang didakwa menyumbang kepada kenaikan harga diesel global.
Kenyataan Trump pada Sabtu itu dibuat ketika ketegangan antara AS dan Ukraine meningkat susulan pengumuman beliau mengenai perjanjian pembelian diesel dari Russia.
Dalam kenyataannya di Rumah Putih, Trump turut mengkritik Zelensky kerana kegagalan mencapai perjanjian damai, selain menuntut Ukraine menghentikan serangan terhadap kemudahan tenaga Russia.
“Saya fikir sudah tiba masanya untuk Ukraine mendapatkan presiden baharu. Saya sudah memberitahunya, buatlah apa yang kamu mahu tetapi jangan serang kilang penapisan. Banyak lagi sasaran lain, usah serang kilang penapisan.
“Tetapi beliau tetap melakukannya dan beliau mesti menghentikannya segera. Saya mencadangkan mereka mendapatkan pemimpin baharu yang mampu mencapai perjanjian kerana beliau sebenarnya boleh mencapai banyak perjanjian, tetapi atas sebab tertentu, beliau tidak pernah berbuat demikian.
“Beliau juga mahu menimbulkan masalah kepada petani dan penternak kita dengan bahan api diesel kerana Russia membekalkan sebahagian besar diesel ke seluruh dunia,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih,
Bagaimanapun, Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha mempertahankan Zelenskyy menerusi hantaran di platform X.
“Beliau mendapat sokongan rakyat Ukraine dan mereka berhak membuat keputusan.
“Kenyataan dari luar negara hanya mengesahkan bahawa beliau menjalankan tugasnya dengan baik. Beliau wajar mendapat sokongan,” tulis Sybiha.
Trump mencapai perjanjian dengan Presidennya, Vladimir Putin pada Jumaat untuk membeli diesel dari negara itu bagi mengurangkan kenaikan harga bahan api.
Perjanjian itu menandakan perubahan ketara dalam dasar Washington selepas bertahun-tahun mengenakan tekanan terhadap Russia susulan pencerobohan besar-besaran negara itu ke atas Ukraine.
Trump berusaha menyalahkan Ukraine atas rekod kenaikan harga diesel di AS, berbanding perang yang diketuainya terhadap Iran.
Perjanjian AS-Russia itu mencetuskan kemarahan Zelensky, yang berkata langkah berkenaan memberi lebih keberanian kepada Moscow.
Beliau mengaitkan perjanjian itu dengan serangan Russia pada Sabtu yang mengorbankan 20 orang, termasuk tiga kanak-kanak, di bandar Zaporizhzhia, Ukraine.
Perjanjian pembelian diesel itu turut dikritik anggota Kongres AS, termasuk wakil Republikan sendiri, Don Bacon yang berkata, sudah tiba masanya untuk memperketat sekatan terhadap Russia yang baru-baru ini diluluskan Kongres, bukannya melonggarkannya.
Sekutu Eropah Ukraine turut menyuarakan kekecewaan terhadap perjanjian dengan Russia itu dan menegaskan komitmen mereka untuk meneruskan sekatan terhadap Moscow.-AGENSI











