97,240 tan metrik tuna bernilai RM980 juta didaratkan tahun lepas

97,240 tan metrik tuna bernilai RM980 juta didaratkan tahun lepas

RUZAIDI Mamat (enam dari kiri) ketika hadir pada majlis pelancaran vesel pengangkut Kha Yang 666 di Dermaga Dalam, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Sebanyak 97,240 tan metrik tuna dan spesies seumpamanya bernilai kira-kira RM980 juta berjaya didaratkan sepanjang tahun lepas sekali gus membuktikan bahawa masih wujud potensi industri perikanan bernilai tinggi untuk terus dikembangkan di negara ini pada masa depan.

Pengarah Kanan Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan, Jabatan Perikanan (DOF), Ruzaidi Mamat berkata, jumlah itu melebihi separuh daripada sasaran pendaratan oleh kerajaan iaitu sehingga 150,000 tan metrik tuna menjelang 2030 menerusi Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030.

“Selain pendaratan tuna, kerajaan juga menyasarkan untuk menambah bilangan vesel penangkapan tuna Zon C3 yang dilesenkan untuk beroperasi di Lautan Hindi kepada 70 buah,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran vesel pengangkut tuna (carrier vessel) Kha Yang 666 milik syarikat tempatan, Kha Yang Marine Sdn. Bhd. di Dermaga Dalam di sini, hari ini.

Sementara itu, Ruzaidi berkata, Kha Yang 666 merupakan vesel pengangkut tuna kedua milik syarikat terbabit yang berukuran sepanjang 84.36 meter dengan kapasiti muatan sehingga 1,700 tan tuna bagi menjalankan aktiviti pemindahan kapal (transshipment) di Lautan Hindi.

“Kha Yang Marine sudah lama terlibat dalam industri tuna ini iaitu sejak 2010 dan sehingga kini, ia memiliki 14 vesel penangkapan tuna Zon C3 serta dua vesel pengangkut tuna Zon C3 yang beroperasi di Lautan Hindi,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Ruzaidi turut menasihatkan nelayan agar lebih berwaspada ketika menjalankan sebarang aktiviti di laut susulan keadaan jerebu yang dilihat berpotensi menjejaskan jarak penglihatan, sekali gus mengundang risiko keselamatan ketika pelayaran.

“Bagaimanapun, DOF belum menerima sebarang aduan mengenai perkara tersebut setakat ini dan aktiviti di laut masih berjalan seperti biasa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini