FAM tunggu peruntukan khusus bola sepak

FAM tunggu peruntukan khusus bola sepak

FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menunggu kepastian mengenai peruntukan kerajaan bagi persiapan skuad bola sepak negara menghadapi Sukan SEA 2027 selepas tiada dana khusus untuk sukan itu diumumkan dalam Belanjawan 2027.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, badan induk itu menghormati keutamaan kerajaan dalam merangka belanjawan, namun berharap keperluan pembangunan bola sepak negara terus mendapat perhatian menerusi kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta agensi berkaitan.

Beliau berkata, FAM belum menetapkan anggaran dana yang bakal diterima bagi menghadapi temasya dwitahunan itu kerana mekanisme agihan serta peruntukan khusus untuk bola sepak masih belum diperincikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“FAM akan terus bekerjasama rapat dengan KBS dan agensi berkaitan bagi memastikan keperluan persiapan skuad bola sepak negara menjelang Sukan SEA 2027 dapat diberi pertimbangan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Azman berkata, FAM juga akan menyusun keutamaan program mengikut kemampuan kewangan sedia ada, selain mempergiat usaha mendapatkan penajaan serta menjalin kerjasama strategik dengan sektor korporat dan swasta bagi memastikan pembangunan bola sepak negara tidak terjejas.

Dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan menyediakan RM757 juta bagi pembangunan sukan negara dan persiapan penganjuran Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN 2027.

Daripada jumlah itu, RM460 juta diperuntukkan untuk pembangunan sukan, manakala RM240 juta disediakan bagi persiapan kedua-dua temasya berkenaan. 

Kerajaan turut menyediakan RM30 juta menerusi Geran Padanan Sukan untuk badan sukan, kelab dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu, Kerajaan meningkatkan peruntukan aktiviti sukan murid sekolah sebanyak 50 peratus kepada RM27 juta bagi manfaat lebih 4.6 juta murid di 10,000 sekolah seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini