MELAKA: Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menghasilkan 10 anak anaconda hijau menerusi pembiakan dalam kurungan sepenuhnya pada 5 Oktober lalu.
Kejayaan itu sekali gus menjadikan pusat itu mengekalkan rekod pembiakan anaconda kuning (Yellow Anaconda) berasal dari Amerika Selatan dengan 14 anak ular spesies itu dilahirkan dalam satu kelahiran secara besar-besaran sebelum ini.
Ia mengukuhkan kedudukan sebagai antara pusat penting pembiakan dan pemeliharaan ular anaconda di Malaysia, selain meneruskan legasi Jasmine, induk anaconda hijau yang pernah melahirkan anak pada 2020.
Pengurus Besar Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka, Gerard Wong berkata, 10 anak berkenaan dilahirkan Diana, anak kepada Jasmine, yang kini berusia kira-kira enam tahun.
Menurutnya, daripada 22 anak yang dilahirkan Jasmine pada Ogos 2020, hanya lapan hidup ketika kelahiran sebelum empat daripadanya berjaya membesar, termasuk Diana.
“Daripada empat ekor itu, dua jantan dan dua betina, seekor daripadanya ialah Diana. Selepas enam tahun, kini kita berjaya mendapatkan 10 anak anaconda hijau menerusi generasi kedua yang dilahirkan di Malaysia.
“Ini satu pencapaian penting kerana kita membuktikan bahawa pembiakan spesies ular terbesar dan terberat di dunia ini boleh dilakukan di negara kita,” katanya dalam sidang media di Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Gerard berkata, kejayaan itu lebih bermakna apabila Diana yang berukuran kira-kira sembilan kaki berjaya melahirkan anak selepas melalui tempoh kebuntingan sekitar 190 hari sejak aktiviti mengawan terakhir direkodkan.
Katanya, pihak taman pada awalnya menaruh harapan terhadap seekor lagi anaconda hijau betina bernama Amber yang berukuran kira-kira 17 kaki, namun haiwan itu hanya mengeluarkan anggaran 50 hingga 60 biji telur yang tidak berjaya disenyawakan pada 10 Ogos lalu.
“Amber tidak melahirkan anak seperti yang diharapkan. Kami ketika itu sangat kecewa kerana sudah lama menunggu dan ramai orang turut mengikuti perkembangannya.
“Bagaimanapun, kami kemudian mendapati Diana juga tidak makan selama beberapa bulan dan menunjukkan perubahan fizikal yang menandakan kemungkinan bunting,” katanya.
Selain anaconda kuning, Amber juga antara anaconda yang menjadi perhatian pengunjung, khususnya berikutan saiznya yang besar dan perkembangan pembiakannya yang dinanti-nantikan orang ramai.
Gerard berkata, kesemua 10 anak anaconda hijau itu berada dalam keadaan baik setakat ini, dengan hanya seekor mengalami masalah pada mata, manakala jantina setiap anak belum dikenal pasti kerana keutamaan ketika ini ialah memastikan kesihatan dan kestabilan fizikalnya.
Beliau berkata, anaconda hijau ialah spesies separa akuatik yang memerlukan habitat dengan pengurusan air, suhu dan kebersihan yang teliti bagi mengelakkan pembiakan bakteria serta memastikan persekitaran sesuai dengan keperluan semula jadinya.
“Penjagaan anaconda bukan mudah kerana kita perlu memastikan kualiti air terpelihara, selain menyediakan aliran air perlahan dan suhu yang konsisten. Semua faktor ini penting untuk memastikan pembiakan dalam kurungan berjaya,” katanya.
Taman itu kini menempatkan lebih 40 anaconda, termasuk spesies anakonda merah, sekali gus memperkukuh peranannya dalam usaha pembiakan dan pendidikan berkaitan hidupan liar. –UTUSAN











