KERAJAAN Persekutuan memperuntukkan pinjaman berjumlah RM1 bilion masing-masing bagi 2026 dan 2027 menerusi perbelanjaan pembangunan (DE) untuk menyokong pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027, kerajaan negeri menjadi penerima pinjaman terbesar pada 2026 dengan jumlah RM475 juta, diikuti syarikat sebanyak RM405 juta dan badan berkanun Persekutuan sebanyak RM135 juta.
Baki RM4 juta pula diperuntukkan kepada organisasi lain dan koperasi.
“Bagi 2027, kerajaan negeri kekal sebagai penerima pinjaman terbesar dengan jumlah RM503 juta, diikuti syarikat sebanyak RM463 juta, badan berkanun Persekutuan (RM58 juta) serta organisasi lain dan koperasi (RM2 juta).
“Pada masa sama, kerajaan dijangka menerima bayaran balik pinjaman berjumlah RM1.9 bilion pada 2026, dengan sumbangan terbesar daripada syarikat sebanyak RM1.4 bilion.
“Bayaran balik selebihnya dijangka diterima daripada kerajaan negeri berjumlah RM416 juta, badan berkanun Persekutuan (RM100 juta) serta organisasi lain dan koperasi (RM18 juta),” menurut laporan.
Bagi 2027, jumlah bayaran balik pinjaman diunjurkan sebanyak RM1.5 bilion, terdiri daripada RM955 juta daripada syarikat, RM419 juta daripada kerajaan negeri, RM120 juta daripada badan berkanun Persekutuan dan RM6 juta daripada organisasi lain serta koperasi.
Sementara itu, baki Pinjaman Boleh Dituntut Persekutuan di bawah Kumpulan Wang Pembangunan mencatatkan RM40.6 bilion pada akhir Disember 2025, bersamaan dua peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Daripada jumlah itu, pinjaman kepada syarikat membentuk bahagian terbesar, iaitu RM25.9 bilion, diikuti kerajaan negeri sebanyak RM9.5 bilion dan badan berkanun Persekutuan sebanyak RM5.2 bilion.
Baki RM33.7 juta pula merupakan pinjaman kepada organisasi lain dan koperasi.
Komposisi itu menunjukkan syarikat merupakan kumpulan peminjam terbesar daripada kemudahan pinjaman Persekutuan berkenaan, diikuti kerajaan negeri dan badan berkanun Persekutuan.
Dalam pada itu, laporan berkenaan menegaskan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan akan terus berpandukan prinsip pengurusan fiskal berhemat, pengagihan sumber secara berkesan dan nilai untuk wang bagi memastikan setiap peruntukan memberikan manfaat optimum kepada negara.
Sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI, kerajaan kekal komited memperkukuh kualiti dan kecekapan perbelanjaan awam, memelihara ruang fiskal serta memastikan sumber awam disalurkan untuk menjana keberhasilan ekonomi dan sosial yang bermakna.
Pendekatan itu penting bagi memastikan sokongan pembiayaan kepada kerajaan negeri, syarikat dan badan berkanun bukan sahaja memenuhi keperluan pembangunan, malah menyumbang kepada kemampanan kewangan awam dalam jangka panjang.











