RANGKA Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) 2027-2029 menjadi asas kepada pengagihan sumber awam di samping mengekalkan perbelanjaan yang berhemat serta memperkukuh keupayaan Kerajaan dalam menangani risiko fiskal yang baharu.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027, selaras dengan objektif fiskal di bawah Akta 850, MTFF menggariskan trajektori konsolidasi yang berperingkat dan teratur berasaskan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar purata sebanyak lima peratus.
Selain itu, harga minyak mentah purata AS$78 (RM318.79) setong serta pengeluaran minyak mentah sekitar 500,000 tong sehari.
“Bagi tempoh 2027-2029, jumlah hasil Kerajaan Persekutuan diunjur sebanyak RM1,164.4 bilion atau 15.7 peratus daripada KDNK dengan hasil bukan petroleum kekal sebagai penyumbang utama hasil.
“Jumlah Perbelanjaan Mengurus (OE) diunjur sebanyak RM1,148.3 bilion atau 15.5 peratus daripada KDNK manakala Perbelanjaan Pembangunan (DE) dijangka berjumlah RM253 bilion atau 3.4 peratus daripada KDNK dengan peruntukan pembangunan terus disalurkan kepada keutamaan strategik di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Secara keseluruhan, defisit fiskal tahunan bagi tempoh tersebut diunjur berkurang selaras dengan sasaran konsolidasi jangka sederhana sebanyak 3 peratus daripada KDNK,” katanya dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2027.
Menurut laporan tersebut, unjuran itu berasaskan andaian bahawa usaha meningkatkan kutipan hasil, mengoptimumkan perbelanjaan serta memastikan penggunaan sumber awam yang lebih berkesan akan diteruskan.
“Penglibatan sektor swasta yang lebih meluas melalui kaedah pembiayaan dan perkongsian pelaburan yang bersesuaian akan melengkapi perbelanjaan awam serta menyokong pembangunan negara,” katanya. – UTUSAN











