Probowo setuju ambil langkah perlu tangani jerebu - PM

Probowo setuju ambil langkah perlu tangani jerebu – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bersetuju untuk mengambil langkah sepatutnya bagi mengatasi masalah jerebu yang mengakibatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Malaysia semakin membimbangkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklum persetujuan itu diberikan Probowo selepas beliau menghubungi Presiden Indonesia itu bagi membincangkan masalah jerebu baru-baru ini.

Beliau berkata, langkah itu perlu dilakukan memandangkan keadaan jerebu di negara ini berada pada tahap membimbangkan sejak kebelakangan ini.

“Berkaitan jerebu, ia memang berada pada tahap membimbangkan. Saya sudah menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo dan beliau juga bersetuju untuk mengambil langkah-langkah yang perlu.

“Komitmen ini harus disusuli tindakan segera serta berkesan oleh pihak Indonesia bagi menangani punca jerebu, dengan Malaysia bersedia memberikan kerjasama.

“Pada masa sama, Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Menteri (Sumber Asli dan Kelestarian Alam) Alam Sekitar (Datuk Seri Arthur Joseph Kurup) juga menghubungi rakan sejawat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Tinjauan Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif bagi mengatasi masalah jerebu di negara termasuk meningkatkan operasi pembenihan awan (OPA).

“Kita meningkatkan hampir saban hari operasi pembenihan awan (OPA) oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan beberapa agensi lain berkaitan tetapi keadaan masih merunsingkan.

“Namun, kita akan mencuba lagi. Malah, tadi saya sekali lagi meminta Menteri Luar untuk menghubungi Sekretariat ASEAN sekiranya boleh mengadakan lagi mesyuarat membabitkan menteri-menteri berkaitan alam sekitar ASEAN.

“Ini semua langkah yang kita ambil dan pantau selain cuba untuk melaksanakan langkah-langkah sepatutnya,” katanya.

Setakat pukul 5 petang ini, 38 kawasan di seluruh negara terjejas akibat jerebu apabila mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat yang berpunca daripada kebakaran hutan tidak terkawal di Indonesia.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Segamat menjadi kawasan paling terjejas apabila mencatatkan bacaan IPU mencecah 190.

Turut terjejas adalah Seremban (187), Nilai (185), Kluang (181), Rompin (178), Johan Setia (178), Tangkak (175), Putrajaya (174), Bukit Rambai (174), Bandaraya Melaka (174), Cheras (173), Pasir Gudang (172), Shah Alam (171), Banting (171), Alor Gajah (171) dan Larkin (171). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini