Sektor industri asas tani Johor catat jualan RM517 juta

Sektor industri asas tani Johor catat jualan RM517 juta

MD Israk Abdullah merasmikan Ekspo IAT Johor 2026 di Angsana Johor Bahru Mall, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sektor Industri Asas Tani (IAT) Johor mencatat nilai jualan RM517 juta tahun lalu, menyumbang 30 peratus daripada keseluruhan nilai jualan sektor itu di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri, Md Israk Abdullah berkata, pencapaian itu disumbangkan hampir 1,800 usahawan berdaftar di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Johor.

Katanya, seramai 336 usahawan berjaya meningkatkan tahap perniagaan masing-masing tahun lalu berbanding 262 orang pada 2024.

“Daripada jumlah itu, seramai 48 usahawan merekodkan nilai jualan melebihi RM1 juta, meningkat berbanding 40 usahawan pada tahun sebelumnya,” katanya selepas merasmikan Ekspo IAT Johor 2026 di Angsana Johor Bahru Mall, di sini.

Ekspo berkenaan menjadi platform mengetengahkan lebih 200 produk tempatan selain membuka peluang kepada usahawan memperluas pasaran dan membina jaringan perniagaan baharu.

Md Israk berkata, bagi memastikan pertumbuhan sektor itu berterusan, kerajaan negeri memperuntukkan RM4.1 juta menerusi Jabatan Pertanian tahun ini bagi memperkasakan usahawan IAT.

Katanya, peruntukan itu memberi manfaat kepada 130 usahawan, khususnya dalam pembangunan dan naik taraf bengkel pemprosesan, pemodenan mesin serta teknologi, pembungkusan, pelabelan dan penggunaan teknologi Internet Benda (IoT).

“Langkah ini diharap membantu usahawan IAT berkembang daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada perniagaan yang lebih kukuh, berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, seramai 299 usahawan IAT Johor turut memperoleh pelbagai pensijilan bagi meningkatkan daya saing produk, termasuk Amalan Pengilangan Baik (GMP), HACCP, Halal, MeSTI dan Home-Based Food Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, usaha itu selari dengan Agenda Maju Johor dan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) yang menjadikan sektor pertanian dan agromakanan antara pemacu utama ekonomi negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini