NEW YORK: Penggubal undang-undang New York membincangkan rang undang-undang bagi mengawal selia beca pelancong yang banyak beroperasi di kawasan tumpuan seperti Times Square dan Central Park, berikutan aduan ia sering menyebabkan kesesakan, bunyi bising melampau serta mengenakan caj keterlaluan.
Majlis Bandaraya New York sedang mempertimbangkan beberapa langkah bagi mengawal selia kenderaan tiga roda itu yang sering dihiasi lampu neon dan memainkan muzik kuat ketika membawa pelancong berkeliling Manhattan.
Jumlah beca pelancong yang dibenarkan beroperasi di New York dihadkan kepada 840, namun berdasarkan angka yang dikemukakan pada pendengaran Majlis Bandaraya, kira-kira 1,500 beca atau disebut pedicab itu kini beroperasi dan hanya 330 daripadanya mempunyai lesen.
Pada masa sama, tindakan mengenakan caj melampau menyebabkan pelancong yang tidak menyedari kadar sebenar dikenakan bayaran lebih AS$1,000 (RM4,086) untuk perjalanan yang hanya mengambil masa 20 minit.
Anggota Majlis Bandaraya, Gale Brewer yang mengetuai sebahagian besar cadangan berkenaan berkata, pihak bandar menerima 172 aduan berkaitan beca pelancong pada 2025.
“Separuh daripadanya, iaitu 86 aduan berkaitan caj berlebihan, manakala 35 lagi membabitkan pengendali tanpa lesen dan mungkin jumlah sebenar lebih tinggi kerana pelancong selalunya tidak membuat aduan,” katanya.
Brewer menggesa supaya peraturan lebih jelas diperkenalkan bagi sektor itu dan mahu ia diletakkan di bawah pengawasan Suruhanjaya Teksi dan Limousin bandar.
“Penumpang perlu tahu berapa bayaran yang dikenakan kepada mereka dan siapa yang bertanggungjawab terhadap beca yang dinaiki,” katanya sambil menambah bahawa kenderaan berkenaan perlu dilengkapi meter yang memaparkan kos perjalanan.
Cadangan peraturan lain termasuk memperkenalkan kadar bayaran tetap berdasarkan tempoh perjalanan, iaitu mengikut minit.
Brewer turut menggesa supaya pemandu menjalani latihan berkaitan peraturan semasa dan aspek keselamatan.
Sementara itu, anggota majlis, Harvey Epstein menyampaikan aduan mengenai bunyi bising daripada syarikat teater.
“Keadaan ini tidak membantu produksi Broadway yang terganggu akibat bunyi bising yang kuat daripada beca pelancong di luar teater mereka,” katanya.
Antara peraturan baharu yang dicadangkan ialah larangan berhenti dalam jarak 15 meter dari pintu masuk dan pintu keluar premis teater berkenaan.-AFP











