KUALA LUMPUR: Kemajuan fizikal Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah kini mencapai kadar 88.47 peratus bagi Fasa 1A dan 22.46 peratus bagi Fasa 1B.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia berdasarkan laporan Kementerian Kerja Raya yang turut mendapati sembilan pakej lagi dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
Sehubungan itu, katanya, pemantauan berterusan terhadap projek berkenaan termasuk berkaitan penyelesaian isu utiliti dan koordinasi antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan terus dipertingkatkan oleh agensi berkaitan.
“Kerajaan komited untuk memastikan projek Pan Borneo Sabah dan jaringan Trans Borneo dilaksanakan dengan lebih pantas dan berdisiplin. Selain itu, projek itu juga perlu disiapkan berteras prinsip on time, on cost dan on quality (siap mengikut jadual dan kos serta kualiti ditetapkan),” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 telah mendapati projek LPB Sabah Fasa 1 yang dirancang sejak tahun 2015 masih belum dapat disiapkan selepas lebih 10 tahun dengan hanya empat daripada 35 pakej kerja berjaya diselesaikan setakat 31 Mac lalu.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, empat pakej tersebut hanya mewakili 11.4 peratus keseluruhan projek sepanjang 706 kilometer membabitkan jumlah kos asal RM567 juta.
Menurut Wan Suraya, baki 31 pakej kerja iaitu 88.6 peratus bernilai RM16.319 bilion masih dalam pelaksanaan.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, dapatan LKAN berhubung pelaksanaan projek itu akan dilihat sebagai peluang untuk memperbaiki kelemahan serta memperkukuh akauntabiliti.
Menurutnya, apa yang lebih penting ketika ini memastikan setiap cabaran yang dikenal pasti dapat ditangani segera.
“Setiap kelewatan mempunyai implikasi kewangan. Justeru, mempercepatkan pelaksanaan bukan sahaja penting kepada rakyat tetapi juga bagi mengelakkan pembaziran dan menjimatkan wang negara,” katanya.
“Fokus kita mesti jelas iaitu mempercepatkan pembinaan, menyelesaikan cabaran di lapangan, membelanjakan wang negara sebaiknya dan memastikan rakyat akhirnya mendapat infrastruktur yang telah lama mereka nantikan,” katanya.
Tambah Mustapha, kerajaan sama sekali tidak akan menghentikan projek ini, sebaliknya terus memperkukuh komitmen termasuk menerusi pelaksanaan 19 pakej Fasa 1B dengan peruntukan RM13.989 bilion diteruskan.
Malah katanya, dalam Belanjawan 2026, keseluruhan projek Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan 1B melibatkan nilai sekitar RM15.9 bilion, sebagai sebahagian daripada kira-kira RM48 bilion komitmen projek infrastruktur lebuh raya di Sabah dan Sarawak.
“Komitmen ini turut diperluaskan melalui pembinaan jaringan strategik Borneo termasuk Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) Fasa 1 dan 2 bernilai RM8.81 bilion serta Lebuhraya Trans Borneo bernilai RM2.99 bilion.
“Ini menunjukkan pembangunan jaringan jalan raya Sabah dan Sarawak terus diberikan keutamaan besar kerajaan, bukan sahaja untuk menghubungkan bandar tetapi juga kawasan pedalaman dan sempadan serta membuka koridor ekonomi baharu,” ujarnya. – UTUSAN











