Belia minta peruntukan saringan kesihatan mental

Belia minta peruntukan saringan kesihatan mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan esok perlu memberi tumpuan kepada aspek kesihatan mental generasi muda dan pengukuhan sokongan terhadap keluarga muda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, isu kesihatan mental perlu ditangani secara komprehensif oleh itu pihaknya mencadangkan supaya peruntukan khusus bagi melaksanakan saringan kesihatan mental bermula di peringkat sekolah.

Katanya, langkah itu penting kerana berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 15 tahun mencatatkan peningkatan daripada 7.9 peratus pada tahun 2019 kepada 16.5 peratus pada tahun 2023.  

“Sehubungan itu, MBM mencadangkan agar peruntukan khusus disediakan bagi melaksanakan saringan kesihatan mental secara wajib dan berkala sekurang-kurangnya sekali setahun bagi setiap pelajar menggunakan instrumen bersesuaian.  

“Pelaksanaan ini perlu menjaga kerahsiaan serta mematuhi keperluan persetujuan ibu bapa atau penjaga, selain memastikan pelajar berisiko menerima penilaian lanjut serta sokongan susulan tanpa sebarang stigma atau tindakan menghukum,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, MBM mencadangkan penambahan bilangan kaunselor di sekolah dengan mengurangkan beban tugas bukan kaunseling, di samping memperluas akses kepada pegawai psikologi serta mempercepatkan rujukan dan rawatan susulan menerusi kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

“Saluran aduan buli yang selamat, perlindungan mangsa serta langkah intervensi awal juga disifatkan sebagai elemen penting yang perlu diperkukuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MBM mencadangkan Subsidi Yuran Pengasuhan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat yang kini menyediakan RM180 sebulan, ditambah baik mengikut tahap pendapatan isi rumah.

Mohd. Izzat berkata, isi rumah berpendapatan kasar RM3,000 dan ke bawah dicadangkan menerima bantuan sehingga RM400 sebulan bagi setiap anak.

“Bagi isi rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM5,000, kami mencadangkan sehingga RM300 sebulan bagi setiap anak.

“Kumpulan berpendapatan RM5,001 hingga RM7,000 pula dicadangkan menerima sehingga RM200 sebulan bagi setiap anak. Ini adalah cadangan kadar baharu MBM, bagi maksimum dua anak berumur bawah empat tahun di taska berdaftar dengan JKM,” katanya.

Menurut beliau, bayaran akan dibuat terus kepada taska berdasarkan yuran sebenar, sehingga had yang ditetapkan.

Beliau berkata, keluarga bertanggungan ramai atau mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) perlu diberi ruang rayuan berdasarkan pendapatan per kapita.

“Pelaksanaan boleh dibuat secara berperingkat, dengan keutamaan kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah tertakluk kepada penilaian kos,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN