WASHINGTON: Serangan Ukraine terhadap kemudahan tenaga Russia menjadi alasan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyalahkan Kyiv susulan kenaikan harga petrol di negara itu.
Trump mendakwa penutupan kilang penapisan minyak di beberapa negeri yang ditadbir Parti Demokrat, termasuk California, turut mendorong kenaikan harga bahan api.
“Apa yang menyebabkan harga petrol naik bukan lagi Selat Hormuz kerana jumlah rekod tong minyak kini dikeluarkan hampir setiap hari,” tulis Trump dalam hantaran di platform Truth Social.
Menurutnya, kenaikan harga petrol sebahagiannya berpunca daripada kemudahan minyak Russia yang ‘diletupkan Ukraine’, selain penutupan kilang penapisan di beberapa negeri AS.
Kenyataan itu dibuat selepas Trump sebelum ini menggesa Kyiv supaya mengelak daripada menyerang kemudahan petroleum Russia.
Bagaimanapun, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, berkata Kyiv merancang untuk memperhebat serangan terhadap kilang penapisan minyak Russia sebagai tindak balas serangan Moscow keatas industri ketenteraan serta infrastruktur negara itu.
Menurut Persatuan Automobil Amerika (AAA), purata nasional harga petrol biasa di AS berada pada paras kira-kira AS4.37(RM17.85) sebulan lalu dan AS3.13 (RM12.78) pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Walaupun harga petrol susut daripada paras tertinggi yang dicatatkan baru-baru ini, ia masih berada meningkat berbanding kebiasaan bagi tempoh sama.
Gangguan bekalan global juga terus memberi tekanan terhadap pasaran tenaga.
Russia melanjutkan larangan sementara eksport diesel dan produk bahan api lain oleh pengeluar domestik secara langsung sehingga 31 Oktober, manakala serangan Ukraine menjejaskan sebahagian kapasiti penapisan minyak negara itu.
Pasaran tenaga turut berdepan ketidaktentuan berikutan perkembangan di Asia Barat dan Selat Hormuz, meskipun penghantaran minyak melalui laluan penting itu semakin pulih.- AGENSI











