RIYADH: Houthi mendakwa melancarkan beberapa siri serangan terhadap sasaran di Arab Saudi pada Rabu, termasuk melancarkan peluru berpandu balistik ke arah lapangan terbang Riyadh ketika kumpulan itu bertempur untuk menguasai wilayah di Yemen menentang tentera kerajaan.
Perkara itu diumumkan jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree dalam satu hantaran di X pada Rabu.
“Angkatan bersenjata kami baru sahaja menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dengan peluru berpandu balistik. Serangan itu tepat, dengan izin Allah dan menyebabkan gangguan kepada trafik udara,” katanya.
Gabungan tentera pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yemen bagaimanapun berkata, peluru berpandu itu berjaya dipintas.
Dalam satu lagi hantaran, Houthi berkata, kumpulan itu menyasarkan bekalan ketenteraan di kawasan kem berhampiran lapangan terbang di bandar Aden yang menjadi ibu negara sementara kerajaan Yemen.
Agensi berita Saba milik kerajaan Yemen melaporkan peluru berpandu dan dron menyasarkan lapangan terbang berkenaan.
Saree sebelum itu berkata, dron dan peluru berpandu turut menyasarkan lapangan terbang Abha serta Pangkalan Udara King Khalid di Khamis Mushait, Arab Saudi dan mendakwa semuanya tepat mengenai sasaran”.
Ia kali kedua minggu ini Houthi mendakwa menyerang lapangan terbang utama di ibu negara Arab Saudi itu.
Menurut laman sesawang penjejakan penerbangan Flightradar24, ruang udara Riyadh kerap ditutup sementara, namun pihak berkuasa Arab Saudi tidak mengakui penutupan itu secara terbuka atau mengesahkan sebarang serangan yang menyasarkan kemudahan berkenaan.
Houthi yang menguasai sebahagian besar kawasan barat laut Yemen, merampas kawalan di pesisir daripada pasukan prokerajaan bulan lalu selepas perang saudara di negara itu kembali tercetus pada Julai.
Kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa minggu ini melancarkan serangan balas dan mendakwa berjaya mengusir pejuang Houthi dari beberapa kawasan strategik di sepanjang Laut Merah serta bandar pelabuhan Mocha.
Bagaimanapun, Houthi yang disokong Iran berkata, mereka masih menguasai wilayah berkenaan, manakala sumber ketenteraan daripada kedua-dua pihak yang dihubungi AFP tidak melaporkan sebarang perubahan besar di medan pertempuran.
Dakwaan kedua-dua pihak tidak dapat disahkan secara bebas berikutan keadaan yang berubah pantas serta kesukaran wartawan mendapatkan akses ke kawasan terbabit.
Pada Selasa, sumber daripada kedua-dua pihak memberitahu AFP, pertempuran di seluruh negara menyebabkan lebih 270 anggota tentera kerajaan dan pejuang Houthi terbunuh dalam tempoh sehari sahaja.
Konflik Yemen turut mencetuskan krisis kemanusiaan yang parah sehingga sebahagian besar penduduk negara itu bergantung kepada bantuan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 184,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran terbaharu.
Seorang pekerja badan kebajikan yang melarikan diri dari Mocha ke Aden, Mohammed, 33, memberitahu AFP pada Selasa penduduk di sana sangat ketakutan.
“Kehidupan di Mocha terhenti sepenuhnya. Tiada pergerakan langsung. Bandar itu sudah menjadi zon perang,” katanya.-AFP











