PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengubah pendekatan perbelanjaan dalam Belanjawan 2027 dengan mengurangkan pembaziran dan subsidi tidak bersasar, namun pada masa sama mengekalkan peruntukan yang mampu meningkatkan produktiviti serta menjana nilai ekonomi lebih besar.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, konsolidasi fiskal tidak seharusnya bermaksud kerajaan mengurangkan semua bentuk perbelanjaan, sebaliknya memberi keutamaan kepada setiap ringgit yang dibelanjakan supaya menghasilkan impak ekonomi dan sosial yang lebih tinggi.
“Kita tidak boleh menyelesaikan masalah kos sara hidup dengan perbelanjaan kerajaan yang tidak berkesudahan. Tetapi negara juga tidak boleh melakukan konsolidasi fiskal dengan mengurangkan sokongan kepada rakyat secara membuta tuli.
“Prinsipnya ialah kurangkan perbelanjaan yang tidak produktif, bukan pelaburan yang meningkatkan produktiviti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, Belanjawan 2027 perlu beralih daripada ukuran berasaskan jumlah bantuan atau peruntukan semata-mata kepada ukuran hasil, termasuk sejauh mana sesuatu program mampu meningkatkan pendapatan, produktiviti, pekerjaan dan daya saing ekonomi.
“Pendekatan itu penting supaya usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara tidak menjejaskan pelaburan jangka panjang yang diperlukan untuk mengembangkan ekonomi.
“Dalam sektor perumahan, misalnya, kerajaan tidak seharusnya hanya membantu rakyat mendapatkan pembiayaan bagi membeli rumah yang mahal, sebaliknya perlu membentuk pasaran supaya lebih banyak rumah yang dibina benar-benar sepadan dengan kemampuan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, terdapat kira-kira 32,800 unit rumah siap dibina tetapi belum terjual pada suku pertama 2026 bernilai RM16.37 bilion, menunjukkan isu perumahan bukan semata-mata berkaitan kekurangan bekalan tetapi turut melibatkan ketidakpadanan harga, lokasi, pendapatan dan kemampuan pembiayaan.
“Jangan hanya membantu rakyat membeli rumah yang mahal, sebaliknya bantu membentuk pasaran supaya rumah yang hendak dibeli itu sendiri menjadi lebih mampu milik.
“Lebih banyak rumah yang benar-benar mampu milik perlu dibina, selain jaminan pembiayaan untuk pembeli muda termasuk pekerja gig dan mereka yang berpendapatan tidak tetap.
“Pembangunan juga perlu dibuat berhampiran pengangkutan awam dan pusat pekerjaan, manakala tanah kerajaan digunakan secara lebih produktif untuk pembangunan perumahan mampu milik,” katanya.
Barjoyai berkata, kerajaan juga perlu menggabungkan data pendapatan, harga rumah, lokasi pekerjaan dan pengangkutan bagi memastikan dasar perumahan tidak lagi dilaksanakan secara berasingan.
Ujarnya, prinsip sama perlu diterapkan dalam strategi menarik pelaburan asing dengan tumpuan bukan sekadar kepada jumlah pelaburan yang masuk, tetapi berapa banyak nilai tambah yang kekal dalam ekonomi domestik.
“Sektor semikonduktor dan reka bentuk cip, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital, tenaga boleh baharu, farmaseutikal, aeroangkasa, logistik bernilai tinggi, halal serta agroteknologi wajar diberi keutamaan kerana mempunyai potensi menghasilkan nilai tambah dan pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Kita tidak mahu Malaysia hanya menjadi tempat pelabur membina kilang, sebaliknya tempat teknologi dibangunkan, syarikat tempatan membesar dan pekerjaan bernilai tinggi diwujudkan.
“Pelaburan asing perlu disambungkan dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan melalui rantaian bekalan, pemindahan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan bakat serta pembangunan vendor,” katanya. – UTUSAN











